ALOR SETAR: Ganjaran daripada kerajaan negeri menanti pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Isnin lepas.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, butiran terperinci berkaitan ganjaran itu akan dimuktamadkan setelah atlet kelahiran Alor Setar itu pulang ke kampung halamannya di sini.
“Ada, akan kita umumkan bila dia balik (Kedah). Saya sudah bersembang dengan dua, tiga orang. Tengok dia nak apa? Biasanya kita bagi ganjaran wang tunailah.
“Tunggu dia balik dulu, mungkin dia terikat dengan latihan dan macam-macam lagi sekarang. Kita akan hubungi keluarga dia untuk tahu bila dia akan ada di sini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kedah Ke Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, di sini hari ini.
Zii Jia menyumbang pingat kedua untuk negara selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena.
Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri akan menyediakan ganjaran untuk semua atlet dari Kedah yang beraksi di temasya sukan tersebut sekiranya mereka meraih pingat untuk negara.
“Ada atlet yang sedang bertanding, kalau mereka dapat pingat adalah ganjaran,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, kerajaan negeri akan memberi ganjaran berjumlah sehingga RM4,000 buat atlet negeri itu yang berjaya merangkul pingat emas pada Sukma Sarawak yang bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Muhammad Sanusi berkata, pemenang pingat perak akan menerima ganjaran sehingga RM2,500, sementara pemenang pingat gangsa akan menerima sehingga RM1,300.
“Kalau menang pingat emas ganjaran serta-merta RM1,000 untuk atlet diberikan dan bila balik ke sini akan dapat RM3,000 lagi, jadi keseluruhan RM4,000.
“(Kedah) bukan lekeh sangat, kita bagi semangat kepada atlet untuk berjuang bersungguh-sungguh. Untuk acara berpasukan, regu ada bahagian-bahagiannya,” katanya.
Tambahnya, Kedah menyasarkan untuk membawa pulang 23 pingat emas, 24 perak dan 25 gangsa dalam kejohanan yang menyaksikan kontinjen itu menghantar 383 atlet dan 213 pegawai termasuk jurulatih. -UTUSAN










