Kapsul masa 1995 dipamer untuk tatapan umum

Kapsul masa 1995 dipamer untuk tatapan umum

KAPSUL masa yang ditanam sempena Majlis Pelancaran Putrajaya pada 29 Ogos 1995 bakal dipamerkan buat kali pertama di Festival Floria Diraja Putrajaya 2024. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kapsul masa yang ditanam sempena Majlis Pelancaran Putrajaya pada 29 Ogos 1995 bakal dipamerkan buat kali pertama untuk tontonan umum di Festival Floria Diraja Putrajaya 2024 di sini, bermula hari ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, selain menikmati keindahan lebih 700,000 bunga-bungaan dan tumbuhan, kapsul masa itu menjadi antara tarikan yang boleh dilihat oleh pengunjung di laman pameran PPj.

“Setelah dua tahun kita tidak menganjurkan Floria, kali ini kita bawa sesuatu yang istimewa di tengah-tengah bandar Put­rajaya (pesisiran tasik Pre­sint 2) iaitu lokasi asal di mana kita mengadakan Floria pada 2004.

“Kelainan pada kali ini, orang awam yang hadir boleh melihat kapsul masa selepas ditanam pada 1995. Kita telah buka pada 2020, tapi memandangkan ketika itu pandemik Covid-19, jadi esok (hari ini) kita mula buka kepada umum (lihat) kapsul masa yang ditanam oleh Perdana Menteri keempat,” katanya selepas sesi Walkabout Media sempena Floria Diraja Putrajaya 2024, semalam.

Kapsul masa tersebut adalah penandaan bersejarah bagi Put­rajaya dan ditanam oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena Majlis Pelancaran Putrajaya pada 29 Ogos 1995 di Mercu Tanda Taman Putra Perdana.

Ia mengandungi sejarah dan perkembangan Putrajaya termasuk senaskhah kertas Kabinet mengenai pembangunan Putrajaya, perjanjian Putrajaya, Enakmen Putrajaya Pelaksa­naan Fungsi 1995, Akta Perbadanan Putrajaya (Akta 536), laporan teknikal perancangan dan pembangunan serta risalah korporat.

Dalam pada itu, Fadlun berkata, Floria pada kali ini mengetengahkan bunga petunia sebagai bunga tema berikutan keunikan struktur, keindahan warna kelopak yang cantik dan menjurai selain menyuntik elemen estetika yang dapat menceriakan pengunjung.

“Saya pasti mereka yang hadir ke Floria tidak akan berasa rugi kerana terdapat ratusan ribu pokok dan gubahan yang dihias untuk memenuhi kawasan seluar kira-kira 15 ekar ini,” ujarnya.

Majlis perasmian Floria akan disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN