LANGKAWI: Kejayaan syarikat tempatan yang membina kapal peronda Tentera Laut Nigeria turut melakar sejarah tersendiri apabila tenaga kerjanya diperkuat dengan peranan empat gadis tempatan yang berkhidmat sebagai jurukimpal.
Nur Adifa Farain Razali, 22; Nurul Izzah Ahmad Daud, 23; Nur Ikhmal Diniah Norsuaidi, 19, dan Nurmira Allya Hamiza, 21, antara 85 kakitangan KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd. yang terlibat dalam pembinaan dua kapal 38M Sea Eagle.
Kemahiran dan kualiti ditonjolkan keempat-empat gadis muda itu turut diakui membantu syarikat tersebut menyediakan aset pertahanan bertaraf dunia kepada Nigeria.
Menurut Nor Adifa Farain yang berasal dari Batu Asah, di sini, dia amat teruja apabila dapat terlibat sama dalam pembinaan kapal tentera berkenaan yang disifatkan sebagai pengalaman berguna.
“Saya seronok apabila dapat bersama-sama bekerja menyiapkan kapal tentera untuk negara luar ini. Semangat bekerja secara berkumpulan dan saling membantu melancarkan segala kerja kimpalan pada kapal.
“Saya anak Langkawi dan memang bangga apabila ada syarikat tempatan di sini yang menggunakan kepakaran pekerja tempatan untuk membina kapal tentera,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran kapal 38M Sea Eagle di sini, semalam.
Nor Adifa Farain yang merupakan lepasan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal berkata, dia mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kimpalan dasar laut yang turut menawarkan pengalaman berguna dan berharga.
Sementara itu bagi Nurul Izzah yang berasal dari Batu Kawan, Pulau Pinang, dia seronok melihat hasil kerjanya dan rakan-rakan yang berjaya menyiapkan kapal itu sebelum diserahkan kepada Tentera Laut Nigeria bulan depan.
“Sebagai anak Malaysia, saya rasa bangga kerana orang kita mampu bina kapal tentera untuk negara luar. Bila tengok kapal yang dah siap itu, saya rasa puas kerana segala penat lelah kami selama ini berbalas,” katanya.
Kata pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam Teknologi Kimpalan Arka di Geomatika Skill Institute itu, dia melakukan kerja-kerja kimpalan pada sistem perpaipan di bilik enjin kapal tersebut.
“Kerja-kerja kimpalan ini memang mencabar kerana ia memerlukan ketelitian, selain perlu berhadapan dengan panas. Selain itu, saya juga perlu cepat menyesuaikan diri kerana di sini majoritinya adalah pekerja lelaki.
“Ia tidak menjadi masalah kerana saya amat meminati bidang ini kerana arwah ayah dahulu juga tukang kimpal dalam pembuatan alat ganti kenderaan, jadi minat itu dipupuk sejak kecil,” ujarnya.
Penyelia bahagian kimpalan kapal, Sazali Rais Moh, 50, berkata, kejayaan menyiapkan dua kapal peronda Tentera Laut Nigeria itu adalah hasil kerjasama dan kepakaran semua pihak.
“Semua pekerja di sini pakar dalam kerja-kerja kimpalan termasuk empat wanita muda ini. Hasil kerja mereka sangat baik kerana ia dilakukan secara terperinci,” katanya. -UTUSAN










