Kantin sekolah terlibat keracunan makanan diarah tutup - Utusan Malaysia

Kantin sekolah terlibat keracunan makanan diarah tutup

PEGAWAI penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melakukan pemeriksaan di kantin sebuah sekolah berasrama penuh di Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengarahkan kantin sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah Kuala Nerus ditutup selama 14 hari susulan kes keracunan makanan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, arahan penutupan itu telah berkuatkuasa bermula 15 Ogos hingga 28 Ogos depan.

Menurutnya, arahan penutupan premis tersebut dilakukan di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta 342 (Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988).

“Sepanjang penutupan itu, kerja-kerja sanitasi pembersihan premis akan dilakukan sepenuhnya untuk memutuskan rantaian keracunan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Semalam, Dr. Kasemani dilaporkan berkata, siasatan terperinci masih dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden keracunan di sekolah tersebut.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati kes keracunan itu disyaki berpunca daripada telur goreng yang didakwa telah berubah bau dan rasa.

Beliau memberitahu lagi, kejadian itu melibatkan pelajar-pelajar yang berumur antara 13 tahun hingga 17 tahun pada 15 Ogos lalu.

“Hasil siasatan mendapati, seramai 32 daripada 629 orang pelajar (5.1 peratus) telah mengalami gejala keracunan selepas makan di kantin sekolah, sehari sebelum itu.

“Gejala utama yang dilaporkan adalah loya, muntah, sakit perut, cirit-birit dan demam,” katanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×