PETALING JAYA: Jeritan meminta tolong berjaya menyelamatkam seorang wanita daripada terus ditikam seorang lelaki dalam kejadian di Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya di sini, hari ini.
Seorang guru, Salwiah Yusof, 37, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, sesi persekolahan masih belum bermula dan hanya beberapa guru wanita berada di bangunan sekolah terletak bersebelahan surau.
Kata beliau, mangsa iaitu seorang wanita berusia 20-an dipercayai singgah di surau bagi menunaikan solat Zuhur sebelum diserang seorang lelaki.
“Ketika itu, wanita berkenaan berada di dalam tandas surau berkenaan sebelum menjerit meminta tolong.
“Terdengar jeritan itu, guru besar yang berada berhampiran tandas cuba membantu mangsa tetapi menyebabkan dia juga dilibas senjata tajam oleh suspek,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kata Salwiah, lelaki berkenaan terus melarikan diri menaiki sebuah kereta.
“Wanita itu dipercayai mengalami kecederaan diperut selepas ditikam suspek manakala guru besar mengalami kecederaan di pergelangan tangan.
“Kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Shah Alam selepas pihak sekolah menghubungi ambulans,” jelasnya. – UTUSAN








