KUALA LUMPUR: “Dia pesan, jaga keluarga, anak-anak.”
Itu pesanan akhir Allahyarham Mohd. Fauzi Darus atau Jay Jay yang dikongsikan isterinya, Zaitoon Wahid, 61.
Kata Zaitoon, dia bersyukur kerana diberi kesempatan berada di samping arwah sebelum penyanyi itu dijemput Ilahi, malam semalam.
“Begitu cepat dia pergi, tapi tenang. Dia tidur, terus tak bangun,” katanya ringkas.
Jay Jay menghembuskan nafas terakhir di Thomson Hospital Kota Damansara akibat kegagalan organ dalaman selepas mengalami serangan angin ahmar beberapa hari lalu.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya sekitar pukul 11 pagi semalam.
Terdahulu jenazah Allahyarham diuruskan dan disolatkan di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, di sini.
Arwah pada Mei lalu dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami serangan jantung dan sesak nafas sebelum menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Singapura.
Susulan itu, arwah menjalani pembedahan pintasan jantung ekorang masalah jantung tersumbat yang dialaminya.
Pada masa yang sama, Zaitoon mengakui arwah Jay Jay seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab dan mengutamakan keluarga.
“Arwah ini orangnya memang suka meluangkan masa bersama keluarga. Dia tidak gemar melepak dengan kawan-kawan di luar.
“Dia juga suami yang penyayang dan prihatin. Macam mana anda kenal dia, begitulah orangnya.
“Kepada peminat dan mereka yang mengenali arwah, doakan dia. Kalau rindukan arwah, dengarlah lagu-lagunya,” kongsinya. – UTUSAN










