Jay Jay pergi dalam tidur - isteri - Utusan Malaysia

Jay Jay pergi dalam tidur – isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi Allahyarham Jay Jay, Zaitoon, 61, reda dengan pemergian suaminya yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, sekitar pukul 9.27 malam semalam.

Zaitoon atau nama sebenarnya Zaitoon Wahid memaklumkan arwah menghembuskan nafas terakhir dalam tenang disamping keluarga.

“Arwah mengalami komplikasi selepas  pembedahan yang dilakukannya pada Jun lalu. Semalam, dia pergi dalam tidur.

“Anak-anak dan adik beradik arwah berada di sampingnya.  Alhamdulillah, kami melihat dia pergi dengan tenang.

“Sebelum itu dia tiada pun tunjuk tanda-tanda dia sakit tapi keadaanya merosot selepas Hari Raya yang lalu,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu jenazah diuruskan di masjid tersebut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang PJS 5 sebelum Zohor.

Kira-kira 200 kenalan dan keluarga hadir masjid berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jay Jay pada Mei lalu dilaporkan mengalami serangan jantung dan sesak nafas ketika menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Susulan itu, Allahyarham menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 23 Mei lepas.

Sementara itu, adik Allahyarham, Melor Wati menyifatkan arwah sebagai seorang abang yang penyayang.

“Dia sangat penyayang, bukan dengan adik beradik sahaja tapi dengan isteri dan anak-anak juga. Saya amat terasa kehilangan arwah.

“Dia pentingkan semangat kekeluargaan ,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN