PETALING JAYA: Penubuhan semula Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang aparteid berpotensi menamatkan unsur atau dasar aparteid di Palestin.
Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, Jawatankuasa Khas itu sepatutnya tidak dibubarkan sebaliknya bertindak sebagai pemerhati terhadap negara yang mengamalkan dasar aparteid.
“Mewujudkan kembali Jawatankuasa Khas PBB menentang aparteid adalah satu langkah yang baik dan seharusnya ia tidak dibubar malah menjadi pengawas supaya tidak lagi ada unsur aparteid yang dilaksanakan di mana-mana negara, khususnya Palestin.
“Dunia harus bertindak segera. Persidangan dan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) harus diinterprasikan dalam tindakan supaya kesengsaraan rakyat palestin di Gaza dapat ditamatkan segera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Malaysia sebelum ini mencadangkan empat langkah utama untuk menyokong perjuangan Palestin, termasuk penubuhan kumpulan tokoh terkemuka yang ditugaskan untuk menilai dan mengenal pasti langkah bagi melaksanakan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan membentangkan cadangan itu ketika menyampaikan Kenyataan Negara semasa mesyuarat tergempar yang diadakan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Mengulas pelantikan baharu Ketua Biro Politik Hamas Yahya Sinwar, Jismi Johari berkata, pelantikan beliau menunjukkan bahawa organisasi tersebut tidak akan tunduk kepada Israel sekali memudahkan urusan rundingan gencatan senjata.
“Yahya Sinwar seorang yang tegas dalam membuat keputusan. Perlu diingat juga bahawa Yahya merupakan salah seorang pengasas Briged Al Qassam dan Ketua Hamas di Gaza.
“Oleh yang demikian, semua tahanan Israel di Gaza adalah di bawah pengawasannya. Ini akan memberi lebih kelebihan kepada Hamas dalam rundingan gencatan senjata.
“Bagi warga Gaza, selepas kehancuran yang dialami dan kesukaran dalam mendapat makanan asas serta perubatan, gencatan senjata adalah jalan terbaik selain syahid,” katanya. – UTUSAN










