KUALA LUMPUR: Pelakon, Uqasha Senrose, 32, berpendapat, tugas menjaga anak tidak wajar diletakkan di atas bahu isteri semata-mata.
Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata, walaupun sibuk, dia dan suami yang juga pelakon, Kamal Adli bergilir-gilir mengurus dan menjaga puteri mereka, Hawra Uqaira.
“Zaman ini tiada lagi istilah hanya isteri yang kena jaga anak sebab suami cari rezeki di luar. Kami tidak mahu normalisasikan perkara itu. Bagi saya dan Kamal, kedua-dua pihak kena ambil bahagian.
“Kamal kena tahu cara menjaga dan mengurus anak. Walaupun sekarang saya sedang bercuti daripada berlakon selepas melahirkan anak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang akhbar dan tayangan perdana filem Takluk: Lahad Datu, di sini.
Uqasha berkata demikian bagi mengulas mengenai pandangan seorang pempengaruh yang menyifatkan tindakan lelaki menjaga anak sebagai di luar tabii.
Sementara itu, pelakon Setelah Terlafaznya Akad itu juga bersyukur kerana suaminya tidak pernah mengeluh malah gembira menjalankan tugas sebagai bapa.
“Bagusnya sikap Kamal ialah, bila pulang sahaja dari kerja, dia cari anak. Urusan mandi, pakaikan baju dan tidurkan anak memang dia lakukan. Kalau pulang malam sekalipun dia dodoikan Hawra. Itu sudah jadi rutinnya.
“Bukan itu sahaja, antara kami berdua, Kamal lebih mahir membalut bedung. Bedung bayi adalah kemahiran penting sebab jika salah teknik, anak akan terjaga,” katanya.
Sebelum ini, kecoh dalam media sosial apabila seorang pempengaruh mengeluarkan kenyataan kontroversi mengatakan urusan menjaga anak bukanlah kerja seorang lelaki.
Menerusi satu podcast, pempengaruh itu memberi contoh jutawan terkenal dunia seperti Bill Gates dan Elon Musk tidak menjaga anak kerana mereka perlu bekerja demi memenuhi keperluan keluarga.
Kenyataan itu bagaimanapun menimbulkan perbincangan hangat dalam media sosial dan memperoleh lebih empat juta tontonan. – UTUSAN










