KUALA LUMPUR: Pelakon, Uqasha Senrose mengakui tidak begitu gemar berkongsi gambar atau video aktivitinya yang mengikuti kelas-kelas agama atau tadabbur sebelum ini kerana bimbang disalah ertikan warganet dan orang ramai.
Bagaimanapun, bercakap kepada Utusan Malaysia, Uqasha berkata, dia mula berubah fikiran kini dan menyifatkan tiada salahnya jika sesekali berkongsi perkara baik seperti itu dalam media sosial jika ia dapat memberi inspirasi dan manfaat bersama.
“Sebenarnya, saya pernah beberapa kali sertai kelas-kelas agama yang dihoskan oleh rakan selebriti, Betty Rahman. Cuma, sebelum ini tidak muat naik dalam media sosial sebab bimbang orang kata kita riak dan mahu menunjuk-nunjuk.
“Ketika itu saya fikir, benda begini tak perlu dijadikan bahan kandungan dalam media sosial sebab tidak mahu orang salah anggap. Tetapi kalau tidak kongsikan benda baik begitu, orang ingat saya macam liberal atau neutral lah, tak belajar agamalah, tak tahu apa-apalah, sebab itu saya pernah dilema sebelum ini.
“Jadi, dari situ, saya fikir tidak ada salahnya jika saya sesekali kongsikan benda baik yang kita buat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ia bagi mengulas mengenai perkongsiannya menyertai kelas agama bersama rakan-rakan selebriti seperti Nelydia Senrose, Oktavia Manrose, Aprena Manrose, Raysha Rizrose, Mimi Lana dan Adira Suhaimi di kediaman Betty Rahman, di sini, kelmarin.
Turut hadir ialah pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor. – UTUSAN










