KUALA TERENGGANU : Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sedang menyiasat punca insiden keracunan makanan di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) yang didakwa sering berlaku sejak akhir-akhir ini.
Pengarah JPNT, Jelani Sulong berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci meliputi semua aspek yang berisiko menjadi punca keracunan makanan tersebut.
Menurutnya, hasil laporan siasatan yang dilakukan di SBP itu juga sudah dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan selanjutnya.
“Ya, memang benar ada aduan mengenai kes keracunan makanan ini dan ia dalam makluman JPNT.
“Siasatan telah dilakukan dan tindakan selanjutnya sudah dilakukan, termasuk menghantar laporan kepada KPM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hari ini, media melaporkan kebimbangan ibu bapa setelah lebih 21 pelajar dilaporkan mengalami pelbagai simptom keracunan makanan seperti sakit perut, cirit-birit dan demam.
Difahamkan, ada antara pelajar yang terpaksa dimasukkan ke dalam wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta beberapa hospital swasta yang lain untuk menerima rawatan sewajarnya.
Lebih mengecewakan ibu bapa kerana pengurusan sekolah seolah-olah mahu menyembunyikan perkara itu dengan tidak membenarkan pelajar atau ibu bapa membuat pendedahan kepada mana-mana pihak luar kerana mahu menjaga imej sekolah.
Mengulas lanjut, Jelani berkata, tindakan susulan akan diambil selepas ini dan beliau menyifatkan dakwaan sesetengah pihak terutamanya ibu bapa kononnya JPNT tidak mengambil tindakan langkah serius berkaitan perkara itu adalah tidak berasas.
Beliau memaklumkan, JPNT sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian demi menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar terutama di sekolah berasrama penuh.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak (sama ada pengusaha kantin atau dewan makan) dan tindakan tegas akan diambil terhadap kecuaian yang berlaku.
“Setakat ini, semua pelajar tersebut berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan,” katanya. – UTUSAN










