NEW DELHI: India menzahirkan sokongan terhadap hasrat Malaysia untuk menyertai kumpulan ekonomi antara kerajaan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan itu dizahirkan rakan sejawatnya, Narendra Modi dalam pertemuan semalam.
“Saya kemukakan keputusan Malaysia untuk bersama dengan BRICS, setakat ini semua negara-negara utama yang terlibat telah menyatakan persetujuan dan semalam bila saya kemukakan (hasrat), Perdana Menteri Modi bersetuju untuk menyokong penyertaan Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar sempena mengakhiri lawatan rasminya ke negara ini.
Anwar dan Modi sebelum ini menyaksikan pertukaran lapan memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan India bagi mengukuhkan hubungan kedua-dua negara.
Memorandum itu merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya berkaitan pengambilan pekerja asing, sektor belia dan sukan, perubatan tradisional ayurveda dan teknologi digital.
Selain itu, kerjasama sektor kebudayaan, pelancongan serta pentadbiran awam dan reformasi tadbir urus.
Antara kementerian terlibat meliputi Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Luar; Kementerian Digital; Kementerian Pelancongan, Kebudayan dan Kesenian serta Jabatan Pentadbiran Awam (JPA).
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, tiga syarikat gergasi India berminat untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia.
Menurut Anwar, perkara itu dizahirkan selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan industri dan perniagaan antaranya Tata Consultancy Services, Emami Agrotech Ltd, dan HCL Tech.
“Dalam pertemuan ini, mereka telah memberikan maklum balas terkait urusan pelaburan serta minat untuk terus mengembangkan perniagaan di Malaysia.
“Mereka menyatakan sepenuh kepercayaan kepada Malaysia yang punyai dasar-dasar yang jelas serta mesra pelabur sekali gus memudahkan urusan perniagaan di negara kita.
“Saya dan pasukan akan terus gigih mengadakan interaksi dengan para pelabur seperti ini akan terus memberikan peluang yang besar buat negara kita bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada India, Insya Allah,” katanya. – UTUSAN










