FFM33 kembali dianjurkan, pertandingkan lebih 100 filem - Utusan Malaysia

FFM33 kembali dianjurkan, pertandingkan lebih 100 filem

Majlis Pelancaran Sidang media Pertama Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching (dua dari kiri) di Studio Mixstage dekat FINAS, Hulu Kelang, semalam/ M.FIRDAUS M.JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Festival Filem Malaysia bakal (FFM) yang memasuki edisi penganjuran ke-33 bakal kembali dianjurkan pada 7 Disember ini.

Penganjuran kali ini membabitkan penyertaan lebih 100 filem yang diterbitkan sejak 1 Oktober 2022 hingga 30 Jun 2024.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata FFM dilaksanakan untuk menghargai karya seni dan kreativiti penggiat industri perfileman negara, selain untuk mengukuhkan peranan industri filem dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pertumbuhan industri ini, bukan sahaja sebagai sektor ekonomi yang dinamik tetapi juga sebagai alat untuk memperkukuh identiti dan budaya kebangsaan.

“Lebih 100 filem akan bertanding sempena FFM33 ini. Angka ini membuktikan industri perfileman negara semakin pesat membangun.

“Prestasi kutipan pecah panggung filem tempatan menunjukkan perkembangan positif apabila pada tahun ini, 26 filem berjaya merekodkan kutipan pecah panggung dengan kutipan keseluruhan sebanyak RM87 (sehingga Mei 2024),” katanya.

Teo berkata, FFM bukan sekadar manifestasi festival semata-mata. Malah katanya, penganjuran itu seharusnya diangkat sebagai acara berprestij, setanding festival filem antarabangsa.

“Festival filem di negara lain bukan sekadar platform untuk meraikan filem, tetapi juga sebagai medan utama untuk mempromosikan industri berkenaan dan menarik pelabur ke dalam sektor kreatif negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib memaklumkan FFM kali ini mempertandingkan 30 kategori.

Katanya, kategori Anugerah Filem Dokumentari Terbaik turut kembali dipertandingkan tahun ini.

“Ini langkah kerajaan untuk menghargai dan memartabatkan pelbagai genre dan bentuk karya dalam industri perfileman dan memperkayakan spektrum sinema Malaysia.

“FFM33 mengetengahkan tema Emas, singkatan bagi Evolusi Sinema Malaysia. Tema ini dipilih kerana emas melambangkan nilai tinggi, berkualiti, dan memberikan impak yang besar, ciri-ciri yang kita impikan untuk setiap karya perfileman tempatan.

“Di bawah tema ini, kita tidak hanya meraikan karya seni yang cemerlang, tetapi juga mendorong penggiat seni untuk terus menghasilkan filem yang mempunyai nilai komersial dan artistik yang unggul,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×