Empangan Timah Tasoh dapat bertahan tiga bulan

Empangan Timah Tasoh dapat bertahan tiga bulan

PARAS air di Empangan Timah Tasoh di Padang Besar, Perlis, terus menyusut sehingga paras 26.90 meter sekali gus berada pada situasi amaran. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Empangan Timah Tasah di sini yang berfungsi sebagai takungan bekalan air domestik dan pengairan pertanian di negeri ini terus menyusut sehingga paras 26.90 meter, sekali gus berada pada situasi amaran.

Ketika ini, takungan air di empangan berkenaan hanya berada pada sekitar 38.5 peratus de­ngan jangkaan mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan sahaja sekiranya kemarau berterusan.

Sebagai rekod, Empangan Timah Tasoh yang berkeluasan 13.3 kilometer persegi itu dapat menampung kapasiti takungan sebanyak 40 juta meter padu dengan kedalaman aras normal pula ialah sekitar 29.1 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, ketika ini, hanya bekalan air untuk kegunaan domestik yang dapat dibekalkan daripada empangan Timah Tasoh manakala bagi kegunaan pengairan untuk aktiviti pertanian tidak dapat dibekalkan.

Katanya, daripada jumlah takungan tersebut, sebanyak 33.3 juta meter kubik air sahaja dapat digunakan bagi tujuan domestik iaitu secara puratanya 75,000 kubik meter sehari.

“Ini diikuti dengan 55 juta meter kubik setahun bagi pe­ngairan kawasan pertanian se­luas 3,075 hektar itu manakala selebihnya adalah takungan mati.

“Kerajaan negeri juga me­ngambil maklum keresahan dialami seramai 1,221 petani berhubung masalah tanaman padi mereka yang rosak dan tidak menjadi pada waktu ini.

“Ini berlaku terutama melibatkan petani yang berada di luar kawasan pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang meliputi kawasan Titi Tinggi, Beseri, Paya dan Bintong. Hal ini disebabkan sumber air bagi tujuan pengairan pertanian di empangan Timah Tasoh tidak dapat dibekalkan ke kawasan itu disebabkan penurunan paras air akibat cuaca ke­ring sejak beberapa minggu lalu,” katanya semalam.

Razali berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia negeri, hujan dijangka lebih kerap semasa musim peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut antara Ogos hingga September.

“Sehubungan itu, paras air di Empangan Timah Tasoh dijangka kembali normal sekiranya hujan lebih kerap dalam tempoh itu. Bagaimanapun, sekiranya ‘trend’ cuaca kering ini terus berpanjangan, kita (kerajaan negeri) bersedia dan akan mengambil tindakan sewajar­nya dalam menangani situasi ini.

“Antaranya permohonan bagi operasi pembenihan awan yang sudah dikemukakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan sedang menunggu kelulusan serta penyelarasan daripada pihak terbabit,” katanya.

Selain itu, Razali memberitahu, kerajaan negeri melalui Exco Hal Ehwal Agama akan mengadakan solat sunat Istisqa untuk memohon hujan di empangan Timah Tasoh.

“Di samping itu, Jabatan Pertanian negeri dan Lembaga Pertubuhan Peladang negeri akan membuat bancian terhadap petani-petani terjejas akibat cuaca kering ini bagi tujuan penyaluran bantuan tabung bencana di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Empangan Timah Tasoh yang terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kangar itu merupakan empangan saliran terbesar di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN