KANGAR: Perkembangan paras air di Empangan Timah Tasoh di sini yang semakin menyusut belum sampai kepada tahap untuk kerajaan negeri melaksanakan catuan air dan proses pembenihan awan.
Bagaimanapun, kerajaan negeri terus memantau serius perkembangan di Empangan Timah Tasoh di sini yang semakin menyusut sehingga paras bawah 27.10 meter, sekali gus turut menyebabkan bekalan untuk sumber pertanian terpaksa dihentikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim berkata, dalam tempoh sebulan ini, pihaknya akan melakukan pemerhatian dan pemantauan serius berhubung perkembangan paras empangan.
Katanya, lazimnya, pada September dan Oktober akan berlaku taburan hujan yang banyak sekali gus diharap dapat membantu peningkatan semula paras empangan.
“Melihat kepada cuaca di Perlis ketika ini yang tidak terlalu panas dan mendung, tidak sangka pula akan berlaku penyusutan yang agak ketara di Empangan Timah Tasoh.
“Pada masa ini, kita tidak sampai tahap untuk melakukan catuan air, cuma terdapat kawasan sawah yang berdepan masalah ekoran kekurangan air di empangan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, cuaca panas dan kemarau menyaksikan bekalan air di Empangan Timah Tasoh yang berfungsi sebagai takungan bekalan air domestik dan pengairan pertanian di negeri ini terus menyusut sehingga paras bawah 27.10 meter sekali gus berada pada situasi waspada.
Paras itu direkodkan sehingga 16 Julai lalu dan penyusutan sudah mula berlaku sejak Jun lalu dengan perkembangan itu menyaksikan bekalan air untuk tujuan pertanian tidak dapat dibekalkan sehinggalah paras empangan kembali berada pada paras melebihi 27.10 meter sekali gus bakal memberi kesan kepada 3,075 hektar kawasan tanaman padi di Perlis.
Sebagai rekod, Empangan Timah Tasoh yang berkeluasan 20 kilometer persegi itu dapat menampung kapasiti takungan sebanyak 40 juta meter padu dengan kedalaman aras normal pula ialah sekitar 29.1 meter.
Kata Izizam, antara cadangan bagi memastikan bekalan air khususnya untuk pertanian mencukupi adalah dengan melaksanakan penjadualan semula tanaman padi dengan memastikan penuaian bagi musim utama tidak melebihi Januari bagi setiap tahun.
“Ketika musim utama penanaman padi yang dianggarkan bermula pada bulan September hingga Disember setiap tahun, Perlis menerima curahan hujan yang tinggi dan situasi ini dapat membantu menjamin kualiti dan hasil padi yang lebih baik,” katanya.
Kata Izizam, bagi tindakan jangka panjang, JPS negeri menerusi JPS Malaysia sedang giat melaksanakan projek menaik taraf empangan Timah Tasoh yang kini berada dalam fasa tiga membabitkan pakej dua dan tiga.
“Projek naik taraf ini dijangka siap sepenuhnya pada 2026 dan berupaya meningkatkan jumlah simpanan air bagi memenuhi permintaan bekalan air domestik serta bekalan air pertanian padi di negeri. Namun begitu, para petani juga disarankan untuk merancang penggunaan air sebaiknya bagi mengelakkan sebarang pembaziran bekalan air,” katanya.
Sementara itu, seorang nelayan, Mohd Shariff Ismail, 62, berkata, air surut lebih 200 meter di kawasan tengah tasik sekali gus turut menyebabkan ikan-ikan di santuari ikan air tawar di Timah Tasoh yang menjadi tumpuan pengunjung terpaksa dilepaskan.
“Jeti bot ronda di sini juga terpaksa dipindahkan ke kawasan pesisir tasik yang terletak 100 meter daripada jati asal bagi memudahkan bot untuk kekal berada d kawasan yang dalam,” katanya. – UTUSAN










