KUALA LUMPUR: “Mungkin dia ada masalah peribadi, jadi saya maafkan sahaja.”
Itu respons penyanyi, Noraniza Idris mengenai penarikan diri pengarah persembahan dan penulis skrip, Anwar Rusdini daripada konsert Qalam Noraniza Idris yang bakal berlangsung September ini.
Noraniza memaklumkan disebabkan perkara itu, emosinya tercalar selaku pengarah projek berkenaan.
“Apa yang berlaku memang memberi kesan kepada emosi saya sebab saya bukan sahaja pengarah projek ini, malah penyanyi utamanya.
“Saya perlu bekerja dengan orang yang serasi dengan saya. Kalau mereka tak faham kemahuan saya, keadaan akan menjadi sukar.
“Dan untuk serahkan tugas bukan mudah kerana saya perlukan orang yang faham buat kerja daripada A sampai Z. Keadaan akan jadi sukar kalau dia tak faham keseluruhan.
“Saya tahu dia menghasut, bercakap buruk di belakang saya. Apa pun saya maafkan sahaja, tapi masih ada perkara yang saya bincangkan dengan pasukan konsert,” maklumnya.
Noraniza ditemui pada majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya 2024.
Penyanyi berusia 56 tahun itu menjadi antara penerima sijil tersebut bagi kategori nyanyian selain Roslan Madun untuk kategori yang sama.
Turut bergelar penerima sijil berkenaan adalah pelakon veteran, Datuk Fauziah Nawi bagi kategori Seni Lakon Teater.
Sebelum ini timbul spekulasi yang mengatakan Noraniza telah memecat Anwar selaku pengarah persembahan konsert tersebut.
Noraniza menafikan perkara itu, sebaliknya memaklumkan Anwar mengundur diri daripada konsert berkenaan menerui mesej yang ditinggalkan di WhatsApp.











