PETALING JAYA: Pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam perlu setara dengan pelajar Program Matrikulasi iaitu RM250 sebulan bagi menggalakkan kemasukan lebih tinggi ke aliran tersebut selain meringankan beban khususnya golongan B40 dan M40.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, amalan memberikan elaun kepada pelajar di peringkat pra-universiti sudah lama dilakukan seperti di matrikulasi dan lain-lain.
Katanya, ia salah satu mekanisme untuk menggalakkan lebih banyak kemasukan pelajar ke program yang disediakan kerajaan sebelum menjejakkan kaki ke alam universiti.
“Pemberian elaun itu sebenarnya satu usaha baik bukan sahaja untuk menggalakkan lebih banyak kemasukan pelajar ke dalam program disediakan bahkan ia mengurangkan beban keluarga yang kurang berkemampuan kerana di peringkat sebegini sememangnya memerlukan perbelanjaan besar.
“Tetapi kadar elaun yang hendak diberikan perlukan setara dengan program-program pengajian tersebut dan perlu dilihat secara menyeluruh seperti kos makan, perjalanan ke sekolah dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ketika ditanya sekiranya ada keperluan untuk kerajaan memberikan elaun kepada pelajar Tingkatan Enam setara dengan elaun pelajar Program Matrikulasi iaitu RM250 sebulan, Anuar bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Ia, sebaiknya elaun tersebut setara,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa pihaknya akan memperhalusi cadangan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam
“Itu antara usaha kita untuk menjaga kebajikan mereka. Ia akan diteruskan termasuk mengangkat cadangan ini ke peringkat Belanjawan pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, memberikan pandangan sama, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, kadar elaun pelajar Tingkatan Enam perlu setara dengan jumlah diterima pelajar matrikulasi.
Hal ini kerana menurutnya, kedua-dua program tersebut sebenarnya setara iaitu peringkat prauniversiti dan hanya dibezakan dengan aliran diambil oleh pelajar.
“Elaun kepada pelajar Tingkatan Enam bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya pernah dilaksanakan sebelum ini dengan jumlah sekitar RM75 sebulan, namun dihentikan.
“Jadi jika kerajaan mahu laksanakan semula, ia perlulah mengambil kira tujuan pelaksanaannya bagi membolehkan kajian lebih mendalam dilakukan bagi menentukan jumlah yang sesuai.
“Tetapi pada saya, jika benar hendak laksanakan, selaraskan saja jumlahnya dengan elaun diterima pelajar matrikulasi kerana kedua-dua program setara,” katanya.
Bagi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan pula, elaun tersebut perlu dikhususkan kepada golongan B40 dan M40 bagi menggalakkan golongan tersebut menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Tentunya latar belakang keluarga (pekerjaan, pendapatan isi rumah, bilangan ahli, bilangan pelajar yang masih menuntut, keperluan sara, bandar/luar bandar/pedalaman) perlu diambil kira pemberian dana bantuan tersebut.
“Pemberian tersebut juga bergantung kepada usaha pencapaian memuaskan pelajar-pelajar dan pemilihannya perlu menerusi mekanisme atau proses yang telus,” katanya. – UTUSAN










