Elaun khusus, pembelajaran percuma pekerja ekonomi gig

Elaun khusus, pembelajaran percuma pekerja ekonomi gig

AHMAD Zahid Hamid merasmikan Seminar Teknikal Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 sambil disaksikan  Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (dua dari kiri) dan Presiden ISSA, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) di Pusat Dagangan Dunia, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menyediakan elaun khu­sus dan pembelajaran percuma kepada pekerja ekonomi gig e-hailing dan p-hailing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dapat dilaksanakan segera selepas Rang Undang-Undang (RUU) ber­kaitan kebajikan pekerja gig dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet September ini, seterus­nya dibawa ke Parlimen pada Oktober depan.

“Terdapat satu program yang kita telah rancang di mana di samping mereka bekerja sebagai pekerja gig, kita mahu sediakan kursus upskilling dan reskilling dengan memberikan elaun dan pembelajaran percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Seminar Teknikal Persa­tuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini, semalam.

Bertemakan ‘Keselamatan Sosial Untuk Pekerja Sendiri dan Pekerja Platform’, seminar itu memberi fokus kepada perbincangan produktif bagi menyumbang kepada masa depan lebih inklusif untuk semua pekerja dalam ekonomi global.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut berkata, pelaksanaan tersebut perlu disegerakan de­ngan mengambil kira kepedulian jangka masa panjang kumpulan itu dan bukan hanya perlindu­ngan sosial semata-mata.

Dalam konteks ini, jelasnya lagi, pekerja gig dan mereka yang bekerja sendiri perlu diberi latihan berterusan seperti upskilling dan reskilling dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran.

“Majlis TVET Negara juga telah menyusun beberapa kaedah dan pedagogi untuk pekerja gig bagi mengikuti kursus TVET yang bukan hanya mereka minati, tetapi yang mempunyai kadar kebolehpasaran tenaga kerja mengikut kehendak pasaran tenaga kerja di Malaysia.

“Ini kerana, kita mengambil kepedulian ketika pekerja gig mungkin mencapai umur lebih 40 tahun, produktiviti mungkin menurun.

“Maka, ia penting bagaimana keluarga dan anak-anak harus dijaga dengan adanya kerjaya yang dipersiapkan untuk mereka melalui program yang diikuti,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid turut berkata, visi ISSA 2024 bukan sahaja membantu membina ekonomi gig yang lebih adil, tetapi turut merapatkan jurang antara sektor formal dan tidak formal dalam pasaran buruh semasa.

“Sebagai langkah signifikan dalam memformalkan ekonomi gig, strategi semasa Malaysia turut meliputi kewujudan perlindungan undang-undang dan hak yang jelas untuk pekerja gig melalui pembentukan SEGiM.

“Secara dasarnya, Malaysia kini proaktif ke arah penubuhan Akta Pekerja Gig yang berfokuskan kepada p-hailing dan e-hailing,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, akta baharu itu yang diterajui Kementerian Sumber Manusia merupakan langkah perintis, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara terawal di dunia memperkenalkan akta yang memberi manfaat tertentu dalam melindungi kepentingan pekerja gig. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN