Dua pusat latihan disediakan bantu nelayan muda beralih ke Zon B dan C - Utusan Malaysia

Dua pusat latihan disediakan bantu nelayan muda beralih ke Zon B dan C

MUHAMMAD Faiz Fadzil (berdiri, lima dari kiri) merakamkan gambar bersama selepas Majlis Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Perlis di Dataran Semarak Kg. Seberang Ramai Kuala Perlis, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Nelayan muda digalakkan mendapatkan kemahiran di dua pusat latihan dikendalikan oleh Jabatan Perikanan bagi membantu mereka melakukan transformasi dalam bidang marin.

Melalui latihan disediakan itu, nelayan muda akan diberi pendedahan untuk beralih kepada bot lebih besar supaya mereka dapat menangkap ikan di laut dalam zon B atau C yang menjanjikan hasil tangkapan lebih lumayan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, nelayan muda sememangnya amat digalakkan untuk mendapatkan kemahiran yang disediakan di dua pusat latihan tersebut yang beroperasi di Lumut, Perak dan Chendering, Terengganu.

“Seperti sedia maklum, anak muda yang mewarisi bidang nelayan ini masih terperangkap dengan cara tradisional iaitu menerusi tangkapan ikan di zon A yang jaraknya hanya lima batu nautika sahaja malah tidak menjanjikan hasil banyak.

“Oleh itu, kita mahu lakukan transformasi supaya mereka ini berani untuk ada bot besar bagi memasuki zon B dan C di samping mendapat kemahiran menjadi tekong di dua pusat latihan berkenaan,” katanya selepas Majlis Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Perlis di Dataran Semarak Kg. Seberang Ramai Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, persatuan-persatuan nelayan di negara ini juga diseru untuk menggalakkan anak-anak muda mendapatkan kemahiran dan ilmu berhubung tangkapan ikan di zon B dan C tersebut.

Katanya, penglibatan nelayan muda untuk bergiat aktif dalam tangkpan ikan di zon B dan C juga dapat menyediakan bekalan sumber manusia mencukupi bagi mengendalikan bot-bot besar selepas ini.

“Jabatan Perikanan juga telah mengawal lesen Zon A apabila hampir 20 tahun ia dibekukan dan disebabkan itulah, kita ingin lakukan tranformasi agar nelayan muda ini beralih ke Zon B atau C.

“Malah kita juga dapati antara punca berlakunya pencerobohan di laut adalah disebabkan oleh kurangnya vesel-vesel atau bot tempatan ini di perairan terlibat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Faiz berkata, sejumlah RM3 juta telah diperuntukkan sebelum ini bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur khususnya di bahagian lantai Kompleks LKIM Kuala Perlis, di sini.

Tambahnya, keadaan kekurangan infrastruktur di premis berkenaan sebelum ini telah merencatkan aktiviti pendaratan ikan oleh para nelayan.

“Peruntukan RM3 juta itu juga telah disalurkan dan kini ia sedang dalam proses tender sebelum kerja-kerja baik pulih dimulakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN