BAGAN DATUK: Kehidupan penduduk di beberapa buah kampung di sini terjejas berikutan banjir termenung yang melanda kampung mereka sejak dua minggu lalu.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Tebuk Imam, SungaI Haji Muhamad, Selekoh, Kampung Che Naga dan Sungai Tiang.
Penduduk mendakwa, masalah itu disebabkan hanya satu daripada dua enjin yang mengepam air keluar dari kampung mereka semasa hujan berfungsi manakala sebuah lagi mengalami kerosakan.
Seorang penduduk, Nizar Marsandi, 58, berkata, kejadian banjir termenung pernah berlaku tahun lalu yang menyebabkan air tidak surut sehingga enam bulan.
Katanya, masalah itu dapat dielakkan jika kedua-dua pam mengeluarkan air dari kampung mereka dapat beroperasi dengan baik.
“Sebelum ini memang kejadian sama berlaku sampai lima hingga enam bulan air tak surut, sebabnya pam mengeluarkan air tidak beroperasi dengan betul.
“Banjir termenung ini bukan sahaja menjejaskan rutin harian kami tetapi pendapatan orang kampung untuk mengeluarkan buah kelapa sawit dari kebun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, apa yang membimbangkan jika banjir termenung berlanjutan boleh menjejaskan tanaman pokok kelapa sawit penduduk.
“Kalau dalam tempoh dua minggu pokok kelapa sawit terendam dalam banjir, akarnya boleh rosak dan ini menjejaskan pokok,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Kasiah Ahmad, 74, berkata, hujan sejak dua minggu lalu selain kejadian air pasang besar menyebabkan rumahnya yang terletak di kawasan rendah dinaiki air.
“Saya harap pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah ini, saya sudah tua tidak larat nak membersihkan rumah dan angkat barang rumah ke tempat tinggi setiap kali banjir,” katanya. – UTUSAN










