KUALA TERENGGANU: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan amang seksual fizikal dan merogol seorang remaja kelainan upaya (OKU) sehingga hamil.
Tertuduh yang berusia 52 dan 50 tahun membuat pengakuan itu hari ini selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang juga anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun.
Tertuduh yang bekerja buruh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus kira-kira pukul 4 petang pada Ogos tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta yang sama.
Sementara itu, rakannya pula didakwa dengan dua pertuduhan merogol mangsa sama di lokasi sama pada Julai dan September 2023.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (KK).
Bapa tiri mangsa bagaimanapun tidak dibenarkan diikat jamin manakala rakannya diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 September bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).










