KUALA LUMPUR: Dua anjing pengesan dibawa semula ke lokasi tanah jerlus di Masjid India di sini, hari ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih hilang sejak Jumaat lalu.
Haiwan dari Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu dilihat tiba di lokasi pada kira-kira pukul 5 petang.
Ketika ini hanya seekor anjing dibawa anggota pengendali memasuki kawasan pencarian terlebih dahulu dipercayai bagi membantu pasukan operasi mengesan keberadaan mangsa.
Pada Jumaat lalu, pasukan SAR sudah menggunakan khidmat unit anjing pengesan namun tidak mendapat petunjuk.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan pasukan SAR termasuk menggunakan botol untuk melihat tempoh sesuatu objek boleh sampai ke lokasi akhir iaitu loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.
Beliau dilaporkan berkata, hasil ujian yang dilakukan pasukan SAR mendapati objek berkenaan mampu sampai ke lokasi berkenaan dalam tempoh empat jam.
Katanya, berdasarkan maklumat wanita warga India itu berkemungkinan terjatuh pada kedalaman 10 meter.- UTUSAN










