PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyeru semua pihak bertenang dan berdoa kepada Allah SWT agar isu berkaitan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat diselesaikan dengan baik, adil dan saksama berasaskan lunas undang-undang negara.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pucuk pimpinan Bersatu sedang meneliti secara halus isu melibatkan ucapan Presiden parti itu semasa kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada malam 14 Ogos lalu.
“Bersatu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional bahawa beliau akan menghormati lunas perundangan dengan hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa pada hari esok,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, proses mengambil keterangan Muhyiddin yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan esok.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Sebanyak 30 laporan polis diterima berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) ketika berkempen baru-baru ini.
Sebelum ini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16. – UTUSAN









