PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) optimis cubaan kerajaan yang didakwa memperalatkan Akta Hasutan 1948 untuk menutup mulut pemimpinnya daripada bercakap benar tidak akan berjaya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana apa yang diucapkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri adalah fakta.
Namun, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa tidak senang apabila rakyat Malaysia mengetahui hakikat yang sebenarnya.
“Akta Hasutan yang mereka mahu hapuskan sebelum ini kini dijadikan alat bagi menjayakan pendakwaan politik ke atas pemimpin PN.
“Pada hari ini mahkamah telah menolak permohonan perintah larangan untuk bercakap (gag order) dan juga menolak permohonan ikat jamin sebanyak RM20,000 oleh pendakwaraya terhadap Tan Sri Muhyiddin.
“Tahniah kepada barisan peguambela yang diketuai Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin kerana telah melaksanakan tugas dengan cekap dan baik sekali,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Hamzah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN berdiri teguh bersama Muhyiddin dalam menentang kezaliman itu dan seterusnya menegakkan Idealisme perjuangan demi masa depan Malaysia yang lebih baik.
Terdahulu, media melaporkan, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut ketika memberi ceramah di Felda Perasu di sini pada 14 Ogos lalu.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik. Mohd. Shukri.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa menyebut perkataan menghasut yang mendakwa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










