PETALING JAYA: Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras tahun ini dijangka menurun kepada 50 peratus susulan cuaca panas dan kemarau yang mengakibatkan kira-kira 130,000 hektar sawah di seluruh negara terjejas.
Jumlah itu menurun 10 peratus berbanding sasaran SSL tahunan beras iaitu 60 peratus bagi kurangkan kebergantungan negara kepada beras import.
Penurunan itu dijangka kerana beberapa kawasan penanaman padi di Perak, Perlis, Kedah, Melaka dan Kelantan tidak mendapat pengairan secukupnya bagi membantu pertumbuhan padi yang rata-rata kini sudah berusia 50 ke 60 hari.
Di Perlis, situasi bertambah buruk apabila empangan Timah Tasoh yang berfungsi sebagai takungan bekalan air untuk pengairan domestik dan pertanian terpaksa membentikan bekalan untuk sumber pertanian selepas paras air menyusut sehingga paras 26.85 meter.
Bekalan air untuk tujuan pertanian tidak dapat dibekalkan sehinggalah paras empangan kembali berada pada paras melebihi 27.10
Turut terjejas ialah Tasik Bukit Merah yang tidak dapat membekalkan air untuk penanaman padi di Kawasan Kerian, Perak disebabkan ia kering sejak Jun lalu.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar memberitahu, kawasan sawah padi yang terlibat akibat kemarau ialah di Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu melibatkan seramai 8,788 pesawah.
Sementara itu, Exco Tugas-tugas Khas Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, setakat hari ini, kawasan paling kritikal yang terjejas akibat cuaca panas adalah kira-kira 5,000 hektar bendang di Kerian, Bagan Serai, Selinsing dan Semanggol di Perak yang dilaporkan sudah kering kontang.
Katanya, turut mengalami masalah sama sebahagian kawasan di wilayah satu dan dua Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) membabitkan daerah Kubang Pasu di Kokdiang dan Megat Dewa serta sawah padi di luar pentadbiran MADA iaitu di Kuala Nerang.
“Wilayah satu dan dua MADA merangkumi kira-kira 50,000 ke 60,000 hektar sawah padi yang bergantung kepada pengairan dari Empangan Muda, namun disebabkan cuaca panas air di empangan tersebut mengalami kemerosotan sehingga menjejaskan pengairan ke kawasan pertanian di Kedah.
“Situasi membimbangkan juga dilaporkan sedang berlaku membabitkan kira-kira 30,000 hektar sawah padi di luar kawasan MADA yang pengairannya bergantung 100 peratus kepada hujan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kawasan pertanian padi di MADA merangkumi keluasan 100,000 hektar yang terbahagi kepada empat wilayah manakala kawasan luar pentadbiran MADA merangkumi 30,000 hektar sekali gus membantu Kedah menyumbang kepada 43 peratus pengeluaran beras negara.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, keadaan sama turut dilaporkan berlaku membabitkan 37,000 hektar sawah padi di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di
Kelantan apabila pam air di Kemubu tidak dapat menyalurkan bekalan pengairan secukupnya kepada tanaman padi di kawasan tersebut akibat cuaca panas.
Katanya, situasi itu turut menjejaskan tanaman padi luar jelapang di Melaka membabitkan kawasan di Klebang dan Bukit Rambai.
“Pengeluaran beras akan terjejas kerana pada usia padi 50 ke 60 hari, ia memerlukan pengairan air secukupnya untuk diserap bagi melalui proses pembentukan butir beras.
“Sekiranya air diterima tidak mencukupi ia akan menjejaskan proses pembentukan itu sekali gua mengakibatkan butir beras bagi setiap pokok padi berkurangan,” katanya.
Oleh demikian, Abdul Rashid berkata, beliau menjangka pengeluaran beras SSL negara tahun ini akan menurun kepada 50 peratus berbanding 60 peratus sebelumnya disebabkan proses pembentukan makanan ruji itu terganggu akibat cuaca panas yang melanda ketika ini.
“Bagi mencapai 60 peratus SSL, setiap satu hektar sawah perlu menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh tan metrik beras namun akibat cuaca panas ketika ini, satu hektar hanya mampu menghasilkan tiga ke empat tan metrik tan sahaja,” katanya.
Sementara itu, di Perlis, kira-kira 1,221 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 2,558.56 hektar di negeri ini berisiko menanggung kerugian mencecah RM9.8 juta berikutan masalah kekurangan bekalan air ekoran cuaca panas dan kemarau ketika ini. – UTUSAN









