LENGGONG: Sebagai memperingati pengorbanan anggota unit 69 Komando (VAT 69), dicadangkan sebuah galeri khas menceritakan tentang pasukan itu dibina di Lenggong, Perak.
Pemilihan lokasi itu dibuat memandangkan Lenggong dan kawasan Hulu Perak mempunyai nilai sejarah tempat pertempuran pasukan tersebut terutama memerangi pengganas komunis.
Cadangan itu muncul sewaktu majlis perasmian Festival Pelancongan Warisan dan Patriotik Lenggong 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Semasa berucap dalam majlis tersebut, Saarani memuji pelaksanaan program itu kerana boleh memberi impak ekonomi dari segi potensi menjana pendapatan buat masyarakat setempat selain mengukuhkan perpaduan menerusi rasa bangga terhadap warisan sejarah negara.
“Saya berharap agar program ini bukan sekadar dijadikan acara tahunan, tetapi menjadi pemangkin kepada satu bentuk pelancongan yang berterusan di Lenggong.
“Ia seharusnya menjadi contoh kepada daerah-daerah lain di seluruh Malaysia untuk mengeksploitasi kekayaan sejarah dan warisan masing-masing,” katanya.
Turut hadir dalam program itu ialah Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT 69 Komando, Datuk Abd. Rashid Harun.
Abd. Rashid melihat ada kepentingan pembinaan galeri tersebut namun menyatakan cadangan itu masih diperingkat awal dan akan diperbincangkan lagi.
“Banyak sejarah pertempuran berlaku di Lenggong khasnya di Hulu Perak,” katanya yang juga merupakan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Khas (PGK), Bukit Aman.
Beliau juga adalah bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, yang berperanan penting di sebalik Ops Daulat di Lahad Datu pada 11 tahun lalu, apabila Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat.
Abd. Rashid kini mengusahakan kem rekreasi dan bina semangat Amazing Camp Legacy terletak di Lenggong yang turut menawarkan aktiviti santai berteraskan nostalgia serta kehidupan taktikal Komando. – UTUSAN










