LENGGONG: Polis menahan tiga individu berhubung kes seorang bayi perempuan baru lahir ditemukan dalam keadaan masih bertali pusat di pekan Titi Serong, Parit Buntar kelmarin.
Tiga yang ditahan itu termasuk seorang wanita dan dua lelaki, dengan seorang daripada lelaki tersebut merupakan individu yang membuat laporan polis berkenaan penemuan bayi tersebut.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kelmarin polis Daerah Kerian menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang lelaki berumur 24 tahun yang bekerja di sebuah pasaraya di Parit Buntar.
Katanya, individu itu menyatakan dia bersama rakannya, seorang lelaki berumur 22 tahun menjumpai bayi perempuan yang baru lahir dan masih mempunyai tali pusat di belakang tong sampah.
Jelas Azizi, bayi tersebut kemudiannya diserahkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Bagan Serai sebelum satu laporan polis dibuat oleh salah seorang lelaki tersebut berhubung penemuan bayi itu.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menjalankan siasatan dan risikan berhubung kes tersebut.
“Namun, hasil siasatan yang dijalankan pihak polis mendapati terdapat keraguan dan percangahan fakta dalam keterangan yang diberikan oleh pengadu dan rakannya itu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program High Profile Policing Bersama Ketua Polis Perak ‘Katakan Tidak Pada Jenayah’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad di sini hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan lanjut ke atas kedua-dua lelaki tersebut mendapati laporan polis yang dibuat oleh mereka adalah palsu.
Katanya, bayi tersebut adalah anak kepada lelaki yang membuat laporan polis hasil hubungan sulit dengan seorang perempuan berumur 20 tahun yang tinggal di Tanjung Piandang.
“Susulan daripada pengakuan tersebut, polis menangkap kedua-dua lelaki dan seorang perempuan yang sedang bekerja di sebuah kilang di Parit Buntar.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan akan diklasifikasikan semula selepas dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” jelasnya.
Katanya, polis memohon perintah tahanan reman untuk ketiga-tiga mereka hari ini.
Azizi meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan dan menghubungi balai polis terdekat atau bilik gerakan IPD kerian di talian 05-7212222 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu. – UTUSAN










