KEMAMAN: Lima mangsa yang terselamat dalam insiden bot karam dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman, semalam, berpaut pada dua tong ikan hampir dua jam, sebelum diselamatkan sebuah bot nelayan.
Setakat petang semalam, dua mangsa ditemukan lemas manakala dua lagi masih hilang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, bot dinaiki tujuh pemancing termasuk dua tekong karam selepas dipercayai dilanggar tongkang pada kedudukan tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman.
Menceritakan detik cemas itu, seorang mangsa yang selamat, Rosnawi Harun, 50, berkata, dia hanya menyedari bot yang dinaikinya bersama enam lagi pemancing dan dua tekong dilanggar selepas terdengar bunyi dentuman kuat.
“Ketika itu saya sedang tidur dan tak sedar apa yang berlaku. Saya hanya sedar bot sudah terbalik dan kemudian karam.
“Saya dan pemancing lain bertahan dengan memegang pada dua tong ikan dan ketika itu saya fikir kami semua akan mati sebab berpaut terlalu lama dengan ombak kuat,” katanya ketika ditemui di Jeti Haji Pa, Kuala Kemaman, di sini, semalam.
Rosnawi berkata, selain berpaut pada tong ikan, dia turut memegang pemancing yang meninggal dunia, Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang merupakan rakan anak saudaranya.
Sementara itu, anak saudara Rosnawi, Ain Farhana Mohd. Husani, 30, berkata, dia menyertai trip mencandat sotong dan memancing itu bersama ibunya, Haziah Harun, 63, dan adiknya, Aina Husna, 25.
“Ketika saya sedar, bot sudah mulai tenggelam dan saya cuba mencari laluan keluar. Saya dah tertelan banyak air, namun saya kuatkan diri untuk terapung di permukaan air,” katanya yang turut mengalami kecederaan di tangan kirinya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat pertama iaitu Siti Zamimah yang berasal dari Selayang, Selangor ditemukan kira-kira pukul 7 pagi semalam bersama lima lagi mangsa yang terselamat.
Katanya, mayat kedua seorang lelaki iaitu Shahril Ismail, 50, ditemukan terapung kira-kira pukul 1 petang oleh nelayan yang turut membantu operasi pencarian. – UTUSAN










