PUTRAJAYA: Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dikekalkan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentang pada 18 Oktober ini bagi meringankan beban sara hidup rakyat.
Dokumen Pra-Belanjawan 2025 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan, dalam masa yang sama, langkah penyasaran subsidi terus dilakukan ke atas keperluan asas seperti elektrik dan bahan api.
“Tumpuan perbelanjaan untuk Belanjawan 2025 selari dengan pendekatan tahun 2023 dan 2024 iaitu melaksanakan projek yang paling diperlukan oleh komuniti.
MENYELENGGARA
“Ia sepertimana dilaksanakan sebelum ini seperti membaiki tandas sekolah, menyelenggara jalan berlubang dan menaik taraf premis perniagaan (gerai) untuk usahawan mikro,” menurut dokumen itu.
Pada Belanjawan 2024 lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 bilion untuk bantuan STR yang memanfaatkan sekitar sembilan juta rakyat dengan kadar maksimum diperoleh berjumlah RM3,700 setiap isi rumah.
Program SARA pula memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta merangkumi golongan miskin dan miskin tegar untuk membeli barang keperluan asas terpilih.
Sebanyak RM788.13 juta diperuntukkan pada Belanjawan 2024 lalu untuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan setiap murid menerima RM150 yang memanfaatkan lebih 5.25 juta murid.
Sebagai langkah pertama ke arah memastikan tiada yang ketinggalan dari segi perlindungan insurans sosial, Belanjawan 2025 turut menyokong penambahbaikan dan peluasan jaringan perlindungan keselamatan sosial merangkumi semua kumpulan umur pekerja.
EKONOMI GIG
Ini termasuk pekerja kontrak perkhidmatan dan pekerja ekonomi gig seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Kerajaan akan terus melindungi hak dan kebajikan pekerja gig termasuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig dan menggubal undang-undang serta dasar berkaitan.
Belanjawan 2025 juga akan menyaksikan peluasan program seperti SejaTi Madani bagi menggalakkan komuniti melaksanakan projek yang boleh memberi pendapatan tambahan.
“Belanjawan 2025 akan terus membela nasib golongan daif melalui penyelesaian mampan,’’ menurut dokumen itu. – UTUSAN










