KUALA LUMPUR: Peralatan dan aset yang lebih canggih selari dengan keperluan semasa diperlukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras jenayah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, adalah menjadi harapan beliau perkara ini dapat menjadi perhatian kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2026 hari ini.
Katanya, keperluan ini amat penting bagi PDRM untuk mempertingkatkan diri dalam penugasan pada masa-masa akan datang.
“Alhamdulillah, kerajaan Madani pada hari ini sering memberikan tumpuan dalam kesejahteraan rakyat khususnya PDRM. Kami (penjawat awam) menerima banyak manfaat dan perubahan terutama sekali dari segi tangga gaji.
“Perhatian juga telah diberikan kerajaan terhadap yang keperluan dari segi penugasan seperti teknologi dan logistik (perumahan),” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Bilangan 13 SIRI 1/2025.
Terdahulu, menerusi istiadat yang berlangsung di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur seramai 345 orang Inspektor Percubaan telah berjaya menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor selamasembilan bulan.
Hari ini, Belanjawan 2026 bertemakan ‘Memacu Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ dijangka memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu pendidikan dan kesihatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara tersebut merupakan elemen penting yang menjadi fokus sebagai asas pembangunan negara. – UTUSAN








