KLANG: Bekas pelumba motosikal negara, Md. Zamri Baba kini terpaksa menggunakan kerusi roda dan mengengsot untuk ke mana-mana berikutan kedua-dua kakinya lumpuh.
Dia yang dahulu digeruni di litar lumba mengalami masalah sedemikian selepas terlibat dalam kemalangan ngeri pada pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Sentul, Indonesia, 7 Jun 2015.
Menurut isterinya, Fauziah Ahmad Fauzy, 41, Md.Zamri yang mengalami kecederaan bahagian belakang tubuh sehingga kini masih menjalani rawatan fisioterapi dan hanya mampu mengesot.
“Buat masa ini pengurusan diri suami, saya dan keluarga lakukan sepenuhnya. Untuk mandi, perlu dibawa dengan kerusi roda dan dia memang perlu pemantauan rapi,” katanya ketika menerima lawatan wakil syarikat HPA International (Radix) di Taman Cempaka Sari, baru-baru ini.
Md. Zamri pernah beraksi dalam kelas perdana, SuperSport 600 cc dan merupakan pelumba terbaik negara di perlumbaan membabitkan negara-negara Asia, terjatuh ketika pusingan keempat serta dirempuh pelumba di belakangnya.
Malah, tambah Fauziah, selain kecederaan fizikal, suaminya turut mengalami masalah hilang ingatan dan memberi kesan sehingga hari ini.
Mengulas mengenai kos seharian dan rawatan lanjut suami, Fauziah berkata, dia kini mengusahakan perniagaan makanan bersama ahli keluarga.
Menurutnya, kedai makanan yang dinamakan Warung Zamri itu terletak di Bandar Bukit Raja dekat sini.
Md. Zamri berkahwin dengan Fauziah dan dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Mohd Iqai,15, dan Muhammad Farish,10. –UTUSAN