IPOH: Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan dijumpai di dalam besen berhampiran tong sampah di Pekan Titi Serong, Parit Buntar semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, bayi yang masih bertali pusat itu ditemukan dua lelaki selepas terdengar bunyi tangisan ketika melalui kawasan berkenaan pada pukul 4.50 petang.
Katanya, bayi dengan berat 2.1 kilogram itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum lelaki terbabit membuat laporan polis.
“Ketika dijumpai, bayi itu dibalut dengan sehelai kain dan diletakkan di dalam besen di belakang dua tong sampah hijau di bahu jalan.
“Berdasarkan pemeriksaan, bayi itu kelihatan tidak sihat dan dalam keadaan kesejukan. Kita juga tidak tahu berapa lama dia diletakkan di lokasi berkenaan sebelum dijumpai orang awam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut Azizi, bayi berkenaan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut dan pihaknya belum mengetahui status terkini bayi tersebut.
Katanya, siasatan mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kedai berhampiran lokasi kejadian yang dipercayai dapat membantu siasatan.
“Kita akan mendapatkan rakaman CCTV itu dan membuat penelitian. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN









