KUALA KANGSAR: Sakinah Kamarudin, 37, wanita yang maut bersama anak perempuannya yang berusia 9 tahun dalam kemalangan jalan raya Jalan Kuala Kangsar-Manong semalam disifatkan seorang anak yang sangat mengambil berat tentang keluarga.
Sakinah maut bersama anak perempuannya, Aisyah Qaisara Khairul Rahmat, 9, dalam kemalangan tersebut.
Seorang lagi anaknya, Nur Safa’ Rafissah Khairul Rahmat, 10, mengalami kecederaan.
Kemalangan berlaku ketika mereka yang menaiki satu kereta dalam perjalanan hendak ke sekolah dan tempat kerja.
Bapa Allahyarham, Kamarudin Mohd., 60, berkata, Sakinah, anak ketiga daripada lima adik-beradik sentiasa berusaha menjaga keperluan keluarga termasuk menjaga ibunya yang uzur.
Jelasnya, ibu kepada dua anak itu turut mengambil berat tentang bapa mentua yang sedang sakit dan ditempatkan di Hospital Kuala Kangsar.
“Dia mengambil berat tentang mak dan ayah serta keluarga. Bila adik beradiknya datang menziarah, dia akan bertungkus-lumus melayan semua dengan baik, tidak menyepikan diri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kamarudin berkata, ketika mendapat berita mengenai kemalangan tersebut, dia pergi ke tempat kejadian untuk mengesahkan kemalangan.
Katanya, dia tidak segera memberitahu kemalangan itu kepada isterinya kerana khuatir boleh membuatkan isterinya terkejut.
“Kedua-dua cucu saya sangat rapat dengan saya dan isteri, kami cuba memenuhi permintaan mereka. Baru-baru ini kedua-dua cucu ini meminta saya belikan kentang goreng dan nuget. Saya belikan.
“Semalam saya tanya mereka ada lagi nuget, mereka jawab ada sedikit lagi. Saya pesan kepada mereka, jika habis beritahu, atuk beli lagi,” katanya.
Sakinah dan anak perempuannya maut apabila kereta mereka terlibat kemalangan dengan sebuah MPV jenis Vellfire pada kira-kira pukul 7.30 pagi kelmarin.
Sakinah bekerja sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Pusat Kegiatan Guru Manong manakala kedua-dua anaknya bersekolah di SK Lempor di sini.
Jenazah ibu dan anak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Kampung Ketior Dalam selepas solat Asar semalam. –UTUSAN










