ALOR GAJAH: Arahan untuk menuduh suspek pembunuhan kejam seorang guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, dijangka diketahui selewat-lewatnya esok.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pegawai penyiasat akan merujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) pada petang ini untuk mendapatkan arahan tersebut.
Katanya, siasatan masih berjalan dan rujukan untuk menuduh suspek dibuat berdasarkan dapatan yang diperoleh pihak polis setakat ini.
“Siasatan masih lagi berlangsung (berjalan). Seperti mana yang saya maklumkan sebelum ini apabila siasatan telah lengkap dan kita mendapat arahan daripada PPN yang dijangka lewat petang ini atau esok.
“Saya tidak boleh mengesahkan bila kertas siasatan akan selesai disemak. Yang pasti petang ini IO (pegawai penyiasat) akan merujuk ke PPN untuk mendapatkan arahan tuduh.
“Jika dapat semula kertas siasatan daripada PPN, kita akan maklumkan kepada Datuk Wira KP Melaka (Datuk Zainol Samah). Kita juga akan maklumkan bila suspek akan dituduh di mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, mayat wanita yang ditemui tanpa kepala di dalam tong sampah yang dibuang ke dalam longkang di kawasan Kampung Rimau, Pulau Sebang di sini, disahkan sebagai cikgu Istiqomah.
Susulan itu, sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun ditahan di Chemor, Perak minggu lalu bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, hanya suspek lelaki yang juga kenalan Istiqomah disambung reman sehingga 18 Ogos ini, manakala suspek wanita dibebaskan dengan jaminan polis. – UTUSAN










