PONTIAN: ‘Saya hampir terbunuh, mujur sempat capai pistol dan bunuh pengganas komunis tersebut, namun badan saya ditembusi dua peluru yang ditembak oleh komunis itu.”
Itu pengalaman cemas dan detik hitam dialami Lans Koperal Samin Parlan, 84, semasa bertugas memerangi pengganas komunis pada 1976.
Namun, dia sedih dan amat terkesan kerana seorang pegawai Cawangan Khas, Inspektor Mohd. Zin terbunuh ketika bergelut dengan pengganas komunis semasa operasi khas di Pasir Pinji, Perak pada 25 Ogos 1976.
Dia yang merupakan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ketika itu telah diarah untuk membantu menangkap komunis bersama dua lagi rakannya serta seorang pegawai dan dalam operasi tersebut, seorang pengganas komunis berjaya ditangkap di sebuah rumah, namun cuba untuk melarikan diri dan menyebabkan berlakunya pergelutan.
“Akibat pergelutan tersebut, pengganas komunis itu telah menembak mati Inspektor Mohd. Zin dan menembak saya, menyebabkan saya mendapat kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Ipoh,” katanya kepada Mingguan Malaysia di rumahnya di Kayu Ara Pasong, dekat sini.
Walau bagaimanapun, Samin tidak mengetahui nasib lagi dua orang rakannya yang turut sama terlibat dalam dalam operasi tersebut sehingga bersara pada 4 Jun 1995, sama ada hidup atau meninggal dunia.
“Memandangkan kecederaan parah yang dialami, saya diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dua jam selepas menerima rawatan di Hospital Ipoh,” katanya.
Dia tidak dapat mengingati apa-apa selepas kejadian itu dan apabila tersedar berada di HKL dan telah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan salah satu peluru di dalam badannya, namun satu lagi peluru yang terkena bahagian belakang badan tidak dapat dikeluarkan.
“Saya berada selama lima bulan di HKL bagi menerima rawatan dan apabila dibenarkan keluar, saya tidak dapat bergerak cergas seperti sebelumnya. Apabila kembali bertugas, saya telah diberikan tugasan di bahagian stor yang menguruskan pakaian dan lain-lain keperluan anggota FRU sehingga bersara,” katanya.
Dia mengaku sedih dan kecewa disebabkan keadaan kesihatan yang dialami sehingga menyebabkan ada pihak yang cuba memindahkannya ke tempat lain kerana tidak lagi cergas seperti dahulu.
“Saya terpaksa berjumpa dengan Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mahmood Nasir supaya saya kekal bertugas di Ipoh” katanya yang mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada tahun 1964.
Mengimbas kembali penglibatannya sebagai anggota polis selain peristiwa hitam di Perak, dia juga menyaksikan peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur pada 1969 dan bersama-sama anggota FRU lain diarah bertugas mengawal keadaan di ibu kota.
“Pasukan saya diarah bertugas di beberapa lokasi seperti di Segambut, Lembah Pantai, Chow Kit, Kampung Baru dan Gombak bagi membantu mengawal ketenteraman awam,” katanya yang mempunyai dua orang anak.
Sepanjang perkhidmatan sebagai anggota PDRM selama 31 tahun, dia telah menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dan Pingat Perkhidmatan Awam (PPA) daripada kerajaan. – UTUSAN










