Akta ambil tanah lapuk

Akta ambil tanah lapuk

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) sudah lapuk dan tidak lagi sesuai digunakan kerana ba­nyak me­ngambil contoh undang-undang pengambilan tanah di India yang berusia 130 tahun.

Malah India sudah pun meminda akta yang digunakan sejak 1894 itu secara besar-be­saran pada 2014.

Justeru, Akta 486 perlu di­sesuaikan dengan perkemba­ngan semasa dan diharmonikan bagi menangani isu berkaitan pindah milik tanah susulan kemelut tanah di Jalan Duta.

Presiden Pertubuhan Profe­sio­nal Tanah Malaysia (Perta­ma), Prof. Dr. Ismail Omar ber­kata, walaupun terdapat pin­da­an terhadap Akta 486, ia melibatkan perkara lain yang tidak be­gitu penting berbanding isu pengambilan tanah.

Kata beliau, setelah dipinda, undang-undang pengambilan ta­nah di India ketika ini lebih adil dan banyak situasi yang me­nyenangkan pemilik tanah di negara itu serta pembangunan untuk rakyat menjadi lebih mudah.

“Seksyen 3 Akta 486 iaitu tujuan pengambilan dilakukan antara perkara yang perlu diberi perhatian serius semasa pindaan hendak dibuat. Sek­syen ini memperuntukkan pihak swasta boleh mengambil tanah untuk dimajukan bagi membangunkan ekonomi negara.

“Apabila pemaju swasta yang kita ketahui mempunyai motif memaksimumkan untung diberi peluang mengambil tanah rakyat, sudah pasti mereka mengambil kesempatan seluas-luasnya.

“Perkara ini hendaklah dilihat dan ditambah baik bagi memajukan negara. Apatah lagi dalam cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar yang akan dibawa ke Parlimen dalam sedikit masa lagi. Sudah tentu akta ini melibatkan banyak pengambilan tanah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Men­teri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercadang menyemak kanun tanah negara berikutan keputusan mahkamah mengarahkan kerajaan memindah milik tanah seluas 106.542 hektar di Mukim Batu, Jalan Duta kepada Semantan Estate Sdn. Bhd. (SESB).

Semakan itu bagi mengelak implikasi buruk kepada negara pada masa akan datang jika undang-undang sedia ada te­rus digunakan untuk mengambil semula tanah-tanah rakyat yang dahulu diambil sejak merdeka untuk tujuan kerajaan oleh sektor swasta.

Ismail Omar

Ismail yang juga Profesor Kehormat (Alambina) Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) berkata, proses dan prosedur pengambilan, guna tanah potensi, kaedah penilaian dan penentuan amaun pampasan antara perkara yang perlu dimantapkan dalam pindaan yang dicadangkan.

Selain itu, katanya, aspek melibatkan proses rujukan ke mahkamah lebih berjadual dan padu, lantikan hakim daripada kalangan penilai dan pentadbir tanah berpengalaman, penubuhan Tribunal Tanah dan pentadbir tanah yang profesional dalam bidang tanah.

“Pada masa ini, kebanyakan pentadbir tanah tiada kelulusan profesional dalam bidang tanah. Kerajaan boleh melantik pakar-pakar dalam bidang tanah untuk buat kajian perbandingan serta mendalam dan Pertama sedia membantu.

Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan perlu memberi perhatian kepada pelaksanaan undang-undang dan bukan hanya semakan semata-mata.

Katanya, tanah adalah urusan kerajaan negeri dan bukan persekutuan, maka kerjasama kedua-duanya sangat diperlukan.

“Ramai dalam kalangan ahli profesional tanah melihat kerja-kerja pentadbiran tanah mudah dan semua mereka boleh lakukan. Persepsi ini perlu diubah. Perlu diwartakan hanya pentadbir tanah profesional boleh lakukan kerja-kerja berkaitan tanah.

“Pada masa ini banyak kerja berkaitan pentadbiran tanah di­buat oleh orang lain. Harapan kita apabila kes mahkamah Semantan ini menjadi panas, semua rakyat termasuk ahli ahli profesio­nal tanah akan sedar dan buka mata mereka bahawa kerja-kerja berkaitan pentadbiran terutama pe­ngambilan tanah perlu dilakukan orang yang ada pengetahuan dan pengalaman.

“Bukan lagi ‘Tom dan Jerry’. Apatah lagi apabila ne­gara menuju era teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan elektronik bagi mengelak penipuan dan sebagainya. Perkara ini perlu diteliti dalam usaha menyemak dan meminda Akta 486 berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak universiti perlu memantapkan silibus bidang hartanah mereka dengan mengkaji kursus berkaitan pentadbiran tanah dan bukan hartanah semata mata.

“Kursus Sijil Profesional Tanah yang dijalankan Pertama secara separuh masa perlu digalak dan diwajibkan kepada pegawai pegawai tanah di seluruh negara.

“Masakan lebih 100 akta berkaitan tanah dikendalikan pegawai tanah yang tidak ada kelulusan akademik dalam bidang tanah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN