Ahli Parlimen diingatkan tidak jadikan sesi persidangan platform politik - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen diingatkan tidak jadikan sesi persidangan platform politik

JOHARI Abdul (tengah) bergambar bersama Mohd. Nor Hamzah (barisan hadapan, dua dari kiri) dan Khazan Che Mat (barisan hadapan, dua dari kanan) ketika melakukan lawatan kerjanya di Pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/ KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengingatkan semua Ahli Parlimen agar tidak menjadikan sesi persidangan sebagai platform politik mereka, sebaliknya fokus perlu diberi kepada isu-isu berkaitan rakyat sahaja.

Beliau menegaskan, semua Ahli Parlimen diberi masa yang cukup untuk berhujah ketika persidangan Parlimen berlangsung namun ia gagal dimanfaatkan sepenuhnya kerana terlalu banyak ‘gangguan dari perkara-perkara remeh yang lain’.

“Saya faham, mereka semua (222 Ahli Parlimen) adalah orang politik namun apabila berbahas, kita jangan jadikan Parlimen sebagai platform politik.

“Setiap minit yang kita berada dalam dewan adalah untuk rakyat. Rakyat nak dengar apa perkara (yang dibahaskan) untuk mereka, bukan untuk kita.

“Jadi, elakkan ‘promote’ diri kita tapi bincanglah tentang hal rakyat,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Terdahulu, ketibaan delegasi itu disambut Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Mohd. Nor Hamzah dan Timbalannya, Khazan Che Mat.

Sebelum ini, terdapat rungutan daripada segelintir Ahli Parlimen yang mendakwa masa diberi tidak mencukupi untuk mereka dalam sesi persidangan yang berlangsung, namun Johari menegaskan tempoh diberi adalah mencukupi untuk hasrat, cadangan dan pandangan dilontarkan secara tepat.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua Rang Undang-Undang yang ingin dibahaskan di dalam Parlimen perlu diedarkan kepada Ahli Parlimen sekurang-kurangnya 14 hari lebih awal untuk memudahkan semua pihak membuat penelitian yang lebih baik.

Katanya, bagi memastikan perkara itu dapat direalisasikan, satu penyelarasan dibuat antara kementerian yang terlibat dengan Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, setiap kementerian mempunyai Penasihat Undang-Undang dan mereka akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk perincian lebih mendalam mengenai Rang Undang-Undang tersebut.

“Seeloknya, jika ada Rang Undang-Undang yang ingin dibahas, drafnya perlu dihantar lebih awal ke Parlimen,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN