CANTIK, bijak dan berbakat.
Itu pakej lengkap yang ada pada pendatang baharu, Adrina Kamaruddin,25, sekali gus memberikan kelebihan buat wanita ini tatkala dia memasang hasrat untuk menerobos masuk ke gelanggang seni hiburan tempatan.
Tahu bahawa bidang ini tidak pernah surut dengan persaingan sengit lantaran begitu banyak pendatang baharu lain sedang cuba menghirup ruang atmosfera yang sama, Adrina bagaimanapun lebih selesa meletakkan keyakinannya kepada Tuhan dalam bab rezeki.
Ini kerana, pelakon ini sedar, tiada gunanya berapi-api melawan pesaing sedangkan ruang rezeki yang ada boleh dikongsi bersama-sama.
Bercakap soal percaya pada rezeki, itu juga menjadi penyebab utama mengapa bekas peserta pertandingan Dewi Remaja 2023 ini tidak gentar meninggalkan sebentar dunia seni penuh glamor ini demi mengejar gelaran doktor.
Ketika bertemu dengannya baru-baru ini, Adrina memberitahu Utusan Malaysia bahawa dia terpaksa berbuat demikian kerana perlu menyelesaikan latihan sebagai pegawai perubatan siswazah bagi melayakkannya bergelar doktor.
“Tipulah kalau saya katakan tidak mencintai dunia lakonan. Ini memang minat saya dari dahulu.
Cuma saya terpaksa berehat seketika daripada industri bermula Oktober ini kerana perlu menyelesaikan ‘housemanship’.
“Jadi, saya akan isi slot dengan apa sahaja yang boleh dibuat dalam industri dalam tempoh beberapa bulan ini.
“Selepas latihan tamat, barulah saya tumpukan sepenuh perhatian untuk kerjaya seni,” katanya.
Selain itu, Adrina juga tidak menolak dan merancang untuk kekal mengimbangi dua kerjaya dalam satu masa yang sama setelah selesai menyelesaikan ‘housemanship’.
Malah, dia juga merancang untuk membuka sebuah klinik sendiri suatu hari nanti untuk berbakti kepada masyarakat.
“Selepas tamat latihan, saya sudah boleh buka klinik sendiri. Jadi, saya boleh bekerja mengikut masa sendiri dan pada masa sama, saya boleh meneruskan kerjaya lakonan. Itu adalah perancangan saya.
“Tetapi tak dinafikan, keluarga ada juga bising dengan keputusan itu. Sejak kecil, orang tua memang menggalakkan saya untuk belajar hinggalah saya menjadi doktor.
“Namun saya minta izin dengan ayah dan minta restu untuk meneruskan minat saya ini. Memandangkan saya sudah menamatkan pengajian, dia akhirnya bersetuju. Bagaimanapun, ayah minta saya berjanji untuk tidak melupakan hasratnya melihat saya bergelar doktor,” jelasnya.
Dalam pada itu, graduan jurusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Universiti Cyberjaya ini memaklumkan, dia juga sudah membuat persiapan rapi dari segi mental dan fizikal untuk menempuh latihan siswazah ini.
“Saya akui ‘housemanship’ merupakan satu tempoh yang sangat sukar dan mencabar. Seperti semua sedia maklum, ada yang akan berhenti separuh jalan.
“Sama juga seperti nak mula belajar dahulu, ramai yang kata bidang perubatan ini sangat susah. Bahkan, saya juga akui memang ia tidak mudah.
“Ramai akan berhenti sebab tak mampu menamatkannya, tetapi disebabkan minat, saya lulus sekali jalan sahaja. Mungkkin juga sudah tertulis takdir dan rezeki ini buat saya.
“Saya sudah sematkan dalam minda, apa jadi sekalipun, saya tetap kena habiskan ‘housemanship’ ini dalam masa dua tahun kerana saya nak kejar semula impian dalam industri seni,”katanya.
Sementara itu, berkongsi kisah pembabitan awalnya dalam dunia seni, pelakon yang berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang ini memaklumkan, bakat seninya dikesan ketika masih dalam pertandingan Dewi Remaja.
“Bermula dari situ, saya ditawarkan membintangi telefilem arahan Zizan Razak dan drama Perang Nasi Dagang adalah drama kedua.
“Berdasarkan apa yang dikatakan pengarah drama, Issey Fazlisham, dia berminat mengambil saya berlakon selepas melihat saya menjalani uji bakat menyertai pertandingan dan persembahan saya pada malam akhir acara itu,” katanya.










