79 mangsa dilarikan, diculik tahun ini – Razarudin

79 mangsa dilarikan, diculik tahun ini – Razarudin

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 541 kes culik dan melarikan orang dalam tempoh lima tahun sejak 2020 sehingga Julai lalu.

Daripada jumlah itu, jumlah kes tertinggi direkodkan pada 2023 dengan 148 kes diikuti 2020 (119 kes), 2021 (104 kes), 2022 (91 kes) manakala Januari sehingga Julai lalu (79 kes).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesa­lahan tertinggi direkodkan adalah di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang dengan salah sebanyak 246 kes diikuti Seksyen 365 Kanun Ke­seksaan iaitu menculik dan me­larikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya sebanyak 251 kes.

Kata beliau, bagi seksyen ke­salahan lain, Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 361 Kanun Keseksaan masing-masing merekodkan sebanyak 19 kes manakala Seksyen 364 Kanun Keseksaan (enam kes).

“Kes culik atau melarikan orang di negara ini tidak berada pada tahap yang membimbangkan. Bagaimanapun pihak PDRM sentiasa memantau secara khusus jenayah melibatkan culik.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memaklumkan segera sebarang kejadian culik mahupun orang hilang agar pihak polis dapat mengambil tindakan segera. Malah ingin diingatkan orang ramai atau ahli keluarga jangan sesekali mengambil tindakan sendiri bagi menyelesaikan kes penculikan terutamanya yang melibatkan wang tebusan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lebih lanjut, Razarudin berkata, trend kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 menunjukan sedikit peningkatan iaitu bagi tahun 2020 (3 Kes), 2021 (3 kes), 2022 (5 kes), 2023 (5 kes) manakala bagi Januari sehingga Julai lalu (3 Kes).

“Dengan bilangan kes seperti ini, dilihat ia adalah kes terpencil tetapi pihak polis memandang serius kerana melibatkan nyawa dan wang.

“Hasil siasatan mendapati golongan dewasa berumur per­tengahan usia 29 tahun ke 34 tahun kebanyakannya menjadi mangsa dan jantina tertinggi adalah lelaki,” jelasnya.

Razarudin berkata, berdasarkan kajian yang dibuat PDRM kes-kes penculikan dan melarikan orang berlaku disebabkan beberapa faktor.

Kata beliau, antara factor yang mendorong kejadian jenayah itu antara disebabkan perselisihan faham atau keganasan domestik.

“Ada juga kes dilaporkan berlaku kerana hutang dalam urusan perniagaan atau hutang personal selain melarikan diri kerana teman lelaki dan masalah rumah tangga sehingga membawa kepada melarikan anak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tempoh kajian menunjukan jumlah mangsa dan suspek ter­tinggi adalah dari warganegara Bangladesh dan Myanmar.

“Ini berpunca dari hutang yang gagal dibayar semasa mereka memohon untuk masuk ke negara ini,” katanya.

Sejak kebelakangan ini banyak kes-kes penculikan dan melarikan orang dilaporkan oleh media massa.

Untuk rekod, empat penjenayah yang disyaki terbabit kes penculikan, terbunuh selepas berbalas tembak dengan polis dalam dua kejadian berasingan di Skudai, Johor pada 2 Ogos lalu.

Kumpulan itu dipercayai ter­babit kes penculikan dua individu bulan lalu membabitkan pembayaran wang tebusan dalam bentuk Bitcoin bernilai USD1.16 juta atau RM5.4 juta.

Pada 23 Julai lalu, lima individu ditahan kerana terlibat kes culik kanak-kanak perempuan enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Kanak-kanak berkenaan ba­gaimanapun berjaya ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor pada kira-kira pukul 4.45 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×