LENGGONG: Polis memberi amaran kepada penonton dan penyokong supaya menjaga tingkah laku menjelang aksi Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di sini malam esok.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kira-kira 500 anggota termasuk polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di Stadium Perak untuk mengawal keselamatan.
“Penugasan dilaksanakan dengan mengambil pendekatan yang profesional dan melarang mana-mana penyokong menggunakan kekerasan dan membawa barang-barang terlarang.
“Tindakan agresif mana-mana penyokong akan diambil tindakan,” katanya kepada pemberita semasa Program High Profile Policing di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad di sini hari ini.
Berdasarkan rekod sebelum ini, pertemuan kedua-dua pasukan kerap mencetuskan insiden yang tidak diingini melibatkan penyokong.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di tempat sama ialah pada pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 yang turut menyaksikan polis menahan dua lelaki kerana membawa pisau dan menghalang tugas penjawat awam ketika perlawanan.
Pada musim ini, setakat lapan perlawanan, JDT sedang mendahului carta liga dengan 22 mata manakala Perak menduduki tempat kesembilan dengan enam mata dan tidak pernah menang di gelanggang sendiri. – UTUSAN









