SIBU: Tiga buah rumah di Kampung Bahagia Jaya, Jalan Teku di sini musnah mengakibatkan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) rentung dalam kejadian pagi ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang rentung dikenali Kong Kim Ngin, 52, sementara 26 penghuni lain hilang tempat tinggal.
Komander Operasi, PBK II Terrance Jimbun berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 8.04 pagi dengan menggerakkan 18 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sibu Sentral ke lokasi kejadian.
“Kebakaran tersebut melibatkan tiga buah rumah jenis struktur tidak kekal, terbakar keseluruhan. Dalam kejadian berkenaan, seorang mangsa rentung dijumpai berhampiran pintu bilik di rumah ketiga yang terbakar pada jam 9.27 pagi,” katanya.
Tambah Terrance, anggota BBP Sungai Merah bertindak memadamkan kebakaran dengan mengunakan dua aliran 200 kaki dan empat nozel air dari pili bomba.
“Anggota BBP Sibu Sentral menggunakan dua aliran dua nozel membantu memadam kebakaran. Setelah memastikan tiada lagi punca api dan keadaan selamat, pihak bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya. – UTUSAN










