Wanita mati dalam kereta kerana terhidu gas helium - polis

Wanita mati dalam kereta kerana terhidu gas helium – polis

BEBERAPA anggota polis membawa keluar barang kes termasuk sebuah tong gas kecil selepas selesai proses bedah siasat dua mayat wanita yang dijumpai mati dalam sebuah kereta di Bukit Mertajam petang kelmarin. -UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Polis mengesahkan bahawa kematian dua wanita yang dijumpai terkunci dalam sebuah kereta petang kelmarin berpunca daripada terhidu gas jenis helium.

Ia susulan proses bedah siasat yang dijalankan terhadap kedua-dua mangsa di Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya (HSJ), hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pada masa yang sama, pihaknya tidak menemukan sebarang senjata atau peralatan lain di lokasi yang boleh mengaitkan kejadian tersebut dengan unsur jenayah.

Sehubungan itu katanya, kes berkenaan turut diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau SDR buat masa ini.

“Kedua-dua si mati merupakan rakan karib dan laporan mengenai kehilangan mereka telah dibuat oleh waris si mati pada 5 Julai yang lalu,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, mayat dua wanita itu dijumpai dalam keadaan sudah berbau dalam sebuah kereta jenis Honda WRV.

Difahamkan, kedua-dua mangsa berkemungkinan telah meninggal dunia lebih lima hari yang lalu berdasarkan kepada keadaan mayat ketika dijumpai.

Dalam pada itu, jenazah kedua-dua wanita berusia 25 dan 30 tahun itu sudah dituntut ahli keluarga masing-masing kira-kira pukul 2 petang tadi selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, salah seorang daripada waris mangsa yang bergegas datang dari Negeri Sembilan mengesahkan bahawa wanita tersebut dan rakannya datang ke Pulau Pinang untuk bercuti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN