GEORGE TOWN : Polis masih belum menerima laporan berhubung video tular membabitkan kejadian seorang wanita yang dikatakan berkelakuan kurang sopan di khalayak ramai di Jalan Penang, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, semalam, satu klip video telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘viralq’ yang memaparkan kejadian seorang individu mengganggu ketenteraman awam di jalan raya dengan bertindak mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
“Semakan mendapati, kejadian tersebut berlaku di Jalan Penang, di sini dan sehingga kini, tiada menerima sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Menerusi video klip yang tular di media sosial itu, seorang wanita didapati melakukan aksi-aksi kurang sopan kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan.
Melalui komen-komen netizen, mereka mendakwa bahawa wanita tersebut kurang siuman dan sering berada di sekitar pusat bandar.
Dalam pada itu, Razlam memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian berkenaan agar menghubungi balai polis terdekat.
“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar berkelakuan sopan ketika berada di tempat awam serta tidak mengganggu ketenteraman orang ramai,” katanya.-UTUSAN







