KUBANG PASU: Seorang pemuda tidak menyangka video kemalangan ngeri di Pulau Pinang yang ditularkan di media sosial semalam adalah abang kandungnya.
Aminuddin Ghazali, 25, memberitahu, dia menerima video berkenaan yang memaparkan abangnya, Amirruddin, 39, digilis treler dalam kejadian kira-kira 6.45 petang di Kilometer 161.4 Lebuhraya Utara Selatan dekat Bandar Casia, semalam.
“Kami sekeluarga masih terkejut. Kami cuma mendapat tahu mangsa kemalangan itu adalah abang setelah melihat video ngeri tersebut. Dalam hantaran itu ada sekali gambar kad pengenalan abang. Daripada situ kami baru tahu bahawa itu abang.
“Videonya sangat mengerikan, kami berharap orang ramai boleh berhenti menularkan video tersebut kerana waris sudah ditemukan dan jenazah arwah juga sudah dikebumikan hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan seorang jurutera kilang maut digilis treler selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tubuh.
Menurut Aminuddin, abangnya yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Bakap.
“Abang baru balik dari Vietnam atas tugasan kerjanya dan sebelum ini arwah ada maklum dia ingin berhenti bekerja untuk berniaga. Kali terakhir kami bertemu pada Hari Raya Aidilfitri lalu abang tidak menunjukkan apa-apa petanda cuma selalu berkata dia keletihan,” katanya.
Sementara itu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Kawah, Jitra selepas Zohor hari ini. -UTUSAN











