PETALING JAYA: Pelaburan dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menarik sektor bernilai tinggi dan mempercepat kelulusan pelaburan langsung asing (FDI) serta menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan, memberi implikasi ketara kepada Malaysia dan negara rantau Asia.
Menurut laman portal Forbes, pelbagai pelaburan besar ditarik dalam sektor bernilai tinggi seperti fabrikasi semikonduktor dan teknologi digital.
“Malaysia menyasar meningkatkan rantaian nilai global dan memupuk ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya saing dengan memberi tumpuan kepada sektor mempunyai potensi pertumbuhan tinggi dan kemajuan teknologi,” katanya.
Menurut portal itu, langkah tersebut bagi meningkatkan tumpuan kualiti pelaburan terhadap produktiviti buruh melalui automasi dan peningkatan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan.
“Inisiatif ini direka bentuk bagi mewujudkan ekonomi yang lebih dipacu inovasi serta mengurangkan pergantungan kepada buruh berkemahiran rendah dan meningkatkan produktiviti keseluruhan.
“Pembaharuan ini mempunyai implikasi yang ketara untuk Malaysia dan rantau Asia yang lebih luas,” katanya.
Portal itu turut memuji langkah Anwar dalam bidang pengoptimuman kos terutama rasionalisasi subsidi dan mengurus kos perkhidmatan awam.
“Peralihan penjawat awam baharu kepada skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diunjurkan mengurangkan kos pencen bagi jangka panjang adalah satu langkah penting.
“Langkah ini bertujuan meringankan beban kewangan kerajaan dengan mengalihkan liabiliti pencen masa depan kepada model lebih mampan,” katanya. – UTUSAN










