Unimap terima pelajar autisme pertama

Unimap terima pelajar autisme pertama

AMIR Asyraf Mohd Azmir (duduk) merupakan pelajar autisme pertama yang mendaftar menyambung pengajian di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Dua remaja istimewa yang menghadapi masalah autisme antara 748 pelajar baharu diploma yang mendaftar di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), semalam sekali gus menjadi pelajar autisme pertama menuntut di universiti berkenaan.

Amir Asyraf Mohd. Azmir, 18, dan Akhmal Aiman Mohd Kamal, 18, memilih Unimap kerana tertarik dengan konsep universiti itu yang berteraskan teknologi dan kejuruteraan namun sentiasa mesra orang kurang upaya (OKU).

Dua pelajar itu yang berasal dari negeri ini dan Kedah bakal menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Bahan.

Amir Asyraf mengalami masalah autisme (sindrom asperger) manakala Akhmal Aiman pula autisme tahap satu (mild autisme) serta masalah gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) pada usia enam tahun.

Ibu Amir Asyraf, Dr. Haslizawati Hashim berkata, anak­nya sendiri yang memilih pengajian diploma tersebut dan sebagai ibu bapa, mereka menghormati serta menyokong penuh.

Pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) itu berkata, Unimap menjadi pilihan anaknya kerana konsep universiti itu yang mesra OKU.

“Kami yakin Unimap mampu memberikan pendidikan terbaik kepada Amir Asyraf di samping membantu perkembangan pemikiran dan sosialnya,” katanya.

Bagi ibu Akhmal Aiman pula, Rozita Khaldi, mereka memilih Unimap selepas mendapat pe­nerangan yang menyeluruh da­ripada wakil universiti itu ketika menghadiri karnival pengajian tinggi di Kulim, Jun lalu.

“Selain mesra OKU, kami tertarik dengan jumlah graduan Unimap yang laris di pasaran pekerjaan walaupun belum bergraduasi. Sebagai ibu bapa yang memiliki anak istimewa, kami mengharapkannya berjaya dalam pengajian dan menerima tawaran kerja di syarikat multinasional selepas bergraduasi nanti.” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, seramai 748 pelajar telah mendaftar di Unimap bagi mengikuti pengajian diploma pada sidang akademik 2024/2025 berbanding 402 pelajar tahun lalu.

“Trend peningkatan ini saya percaya hasıl kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mana program TVET kini sedang berkembang dengan pesat.

“Pelajar diploma Unimap berada di landasan yang betul kerana mereka bakal diberi latihan berkaitan, sekali gus memenuhi keperluan industri terutama permintaan terhadap bakat kecerdasan buatan (AI),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN