PETALING JAYA: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bukti bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Jailani Khamis telah menandatangani perjanjian RM100 juta sebelum bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, pendedahan itu sekali gus menafikan dakwaan Jailani tidak terikat sebarang perjanjian dengan UMNO apabila menyertai PAS.
Menerusi hantaran di aplikasi TikTok, katanya, ramai terkeliru dengan kenyataan Jailani.
“Hakikatnya untuk pengetahuan, setiap calon mewakili Barisan Nasional (BN), sama ada PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) lalu semuanya menandatangani satu perjanjian dinamakan perjanjian perwakilan calon BN,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Jailani yang digantung UMNO, diterima menyertai parti itu pada 10 Jun 2023, sebelum akta anti lompat parti dikuatkuasakan di Melaka.
Khamis lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh mendakwa Jailani harus membayar RM100 juta kerana melanggar perjanjian ketika dicalonkan pada PRN Melaka 2021.
Dalam pada itu, Asyraf berkata, Jailani turut membuat akuan bersumpah dan bukti jelas antaranya dia perlu membayar balik kepada BN sebanyak RM100 juta jika melanggar perjanjian.
Beliau berkata, bukan Jailani sahaja tetapi semua calon BN daripada UMNO, MCA dan MIC menandatangani perjanjian sebelum bertanding PRN dan PRU.
“Ini adalah salinan asli yang telah pun dimatikan setemnya bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di mana ditandatangani pesuruhjaya sumpah dan disaksikan oleh saksi-saksi.
“Ini tandatangan Jailani paling jelas sekali, selain daripada perjanjian ini juga adanya akuan bersumpah setiap calon. UMNO juga sedia untuk bawa hal ini ke mahkamah,” tegasnya.
Sementara itu, Jailani dalam kenyataan ringkas memaklumkan sedia mendedahkan dan menentang ‘taktik buruk’ Umno yang tidak selari undang-undang.
“Tidak berperlembagaan demi untuk kebaikan ramai lagi ahli yang lain. Saya bersedia membersihkan ini di mahkamah,” katanya.-UTUSAN











