BATU PAHAT: Jika UMNO kuat, semua parti di bawah gabungan Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC turut akan menerima manfaat dengan memenangi kawasan pilihan raya yang ditandingi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, contoh paling ketara adalah UMNO Bahagian Ayer Hitam apabila mempunyai kekuatan yang boleh dijadikan panduan kepada Bahagian-bahagian UMNO lain di seluruh negara.
Katanya, dengan kekuatan UMNO di Bahagian Ayer Hitam, calon MCA sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menang dengan mudah dalam pilihan raya disertai sejak sekian lama.
“Untuk menjadi sebuah Bahagian UMNO yang kuat, apa yang perlu ada adalah hindari budaya sabotaj dan ingin menjadi calon setiap kali musim pemilihan atau pilihan raya diadakan.
“Di samping itu, semua bahagian UMNO perlu membina kekuatan dari dalam kerana apabila wujudnya rumah yang kukuh pasti akan turut memanfaatkan isi didalamnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan persidangan UMNO Bahagian Ayer Hitam di Dewan Orang Ramai Yong Peng di Batu Pahat, hari ini.
Bagaimanapun, Johari menegaskan, apabila sudah berada dalam kedudukan yang kuat, jangan cepat ambil mudah dengan semua perkara.
Katanya, membina dari dalam itu bermaksud membaiki kelemahan-kelemahan yang ada kerana apabila ia berjaya diatasi di situlah timbulnya kekuatan.
“Sesuatu yang perlu diingat bahawa kita mempunyai tanggungjawab untuk memulangkan semula maruah UMNO kepada generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN










