MUKADIMAH
DUNIA sukan tanah air ‘bergegar’ seketika sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan peminat dan pemerhati.
Bermula isu pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 sehingga kepada hal-hal berkaitan bola sepak, semuanya menjadi perdebatan.
Sudah semestinya tumpuan diberikan kepada salah seorang pemimpin yang menjadi tulang belakang dalam hal ehwal sukan negara.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Menteri Belia dan Sukan, HANNAH YEOH bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut membantu, jurufoto MUHAMAD IQBAL ROSLI dan FARIS IDERIS.
PRESTASI
MINGGUAN: Bagaimana dengan prestasi atlet Malaysia secara keseluruhan setakat ini?
HANNAH: Kita ada penambahbaikkan tetapi mungkin tidak mencukupi lagi dan kita juga ada nampak bakat baharu yang terlatih selepas siri Sukan SEA.
Bagaimanapun, saya lihat untuk Sukan Olimpik kali ini, harapan negara adalah supaya pingat emas mampu diperoleh. Malah Jawatankuasa Road To Gold (RTG) telah ditubuhkan untuk membantu persiapan bagi meningkatkan peluang agar mendapat pingat emas.
Paling penting bagi jawatankuasa RTG adalah untuk kejohanan dua Olimpik iaitu Paris dan Los Angeles pada 2028. Sebab itu, untuk persediaan Olimpik Los Angeles nanti, persiapan awal telah kita berikan kepada pasukan squash.
Sebenarnya, untuk kita lihat pembangunan sukan ada dua jenis iaitu atlet podium yang meraih pingat apabila mewakili kontingen Malaysia. Satu lagi, menerusi sukan untuk gaya hidup iaitu melibatkan agensi berlainan yang bukan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN). Dua-dua kita perlu buat dan beri tumpuan demi memastikan dengan adanya pembangunan sukan di peringkat akar umbi barulah ada atlet elit yang lahir.
Malaysia diberikan hak tuan rumah Sukan Sea 2027 tetapi kita masih tidak memberikan kata putus lagi sama ada untuk menerima atau tidak. Komen YB?
Untuk Sukan SEA 2027, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah tawarkan dan disambut Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui ciapan (tweet) beliau. Akan tetapi apabila diteliti, kita tidak ada kertas hitam putih yang telah disediakan di peringkat Kabinet untuk menyediakan peruntukan kewangan penganjuran sukan berkenaan.
Ini bermaksud kertas berkenaan perlu dibuat sekarang. Justeru, Kabinet telah memberikan mandat ini kepada Kementerian Belia dan Sukan dan jelaskan dengan semua pemegang taruh, kemudian buat kertas kerja dengan segera.
Selepas itu diadakan sesi libat urus dengan semua exco kerajaan negeri, Menteri Belia dan Sukan Sabah serta Sarawak disamping penaja yang berminat untuk membantu Sukan Sea 2027.
Berdasarkan maklum balas, Sarawak menawarkan untuk menjadi penganjur bersama selain mahu membantu separuh daripada kos penganjuran. Kemudian Sabah turut membuat tawaran untuk membantu selain Pulau Pinang yang mahu menyediakan tempat bagi acara. Hasil dapatan ini semuanya akan dibentangkan dalam masa terdekat kepada Kabinet untuk satu keputusan.
Apa yang penting adalah tawaran Sarawak untuk membantu menanggung kos sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan semestinya membantu meringankan beban. Maka kita akan membawa semua maklum balas ini dalam satu kertas dan maklumkan nanti.
Setakat ini, tiga negeri dan syarikat swasta berminat dengan penganjuran acara yang menelan kos RM700 juta. Dengan adanya komitmen daripada pelbagai pihak, ia efektif dan dapat menjimatkan lebih kurang RM350 juta.
TUNGGAKAN GAJI LIGA MALAYSIA
Isu tunggakan gaji pemain Liga Malaysia. Dengan melihat kepada prestasi terkini dan situasi liga, adakah wajar ditetapkan satu standard harga gaji (gaji siling) untuk pemain?
Semua kontrak ada perjanjian antara kelab dan pemain masing-masing. Ini hak untuk rundingan sebelum mereka tandatangan kontrak tersebut. Kalau kita lihat ekosistem bola sepak di Malaysia, bukan semua kelab mampu menjadi seperti JDT mahupun Selangor. Bermaksud ada kelab yang mempunyai masalah kewangan atau ada yang mahu membeli pemain berkualiti, tetapi mereka tidak mampu mentransformasikan kelab.
Oleh itu, saya lihat adalah penting untuk Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) duduk bersama melihat cara melaksanakan penambahbaikkan pada ekosistem sekarang. Dan isu tunggakan gaji ini bukan perkara baru.
Saya difahamkan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan ada Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) ada untuk bincangkan isu ini. Kalau mereka tidak selesaikan isu gaji ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga boleh mengambil tindakan terhadap MFL dan FAM.
Sebab itu, saya katakan mereka perlu duduk bersama dan pastikan isu gaji ini boleh selesai termasuk diletakkan syarat untuk kawal selia. Lagipun, saya rasa bukan semua kelab mampu membeli pemain. Mereka perlu lihat kemampuan untuk pastkan gaji dibayar.
Kadang-kadang yang mahu beli pemain ini buat pengumuman.Tetapi selepas itu berdepan dengan masalah tunggakan gaji. Jadi, saya berharap MFL dan FAM boleh ketatkan syarat terhadap kelab sedia ada.
Bagi saya, harga siling ini tidak bermakna kalau hanya atas kertas sahaja. Kontrak ini semua orang boleh tandatangan. Tetapi kemampuan untuk menunaikan kontrak itu menjadi masalah sekarang. Kalau ada gaji minimum dan tertera pada kontrak sekalipun, tiada gunanya jika gaji tidak dibayar.
Jadi, saya lihat perlu ada syarat pemilikan kelab dan perlu pastikan yang beli pemain ini ada kedudukan kewangan yang kuat untuk bayar gaji.
Mengapa kelahiran bakat bola sepak hanya di Akademik Mokhtar Dahari (AMD) dan tidak diwajibkan di semua kelab?
Yang itu satu cadangan bagus. Tapi secara realistik pembangunan bakat untuk kelab di peringkat negeri, hanya ada beberapa sahaja yang mampu buat dengan baik. Sebagai contoh JDT, Selangor dan Terengganu.
Kalau gaji pemain pun ada kelab yang tidak mampu bayar bagaimana mahu melahirkan pembangunan bakat? Selain itu, saya rasa masalah kompetensi. Bukan semua orang mampu menguruskan bola sepak. Itu sebab pemilik kelab tidak boleh ada mimpi terlalu besar untuk meniru seperti JDT atau kelab yang berjaya sedangka tiada kemampuan untuk negeri dia sendiri atau menjadi pemilik kelab.
Malah syarat untuk pemilikan itu perlu dilihat dan ia bukan daripada segi kemampuan bayar gaji semata-mata tetapi kemampuan untuk pengurusan bola yang datang dalam satu pakej.
Perbincangan pada masa sekarang ini adalah sama ada pembangunan bakat ini untuk negeri yang buat atau kita hendak secara berpusat sebagaimana AMD. Jadi, ada dua pemikiran berbeza.
Pertama, kalau sesebuah kelab tidak mampu membayar gaji macam mana mereka mahu tubuhkan sebuah akademik sebagaimana AMD. Atau mungkin bagi pada kelab yang boleh buat dan kepada kelab yang boleh buat mereka boleh teruskan. Perbincangan ini masih berjalan antara saya dengan FAM kerana kita mempengerusikan jawatankuasa berkenaan. Dan sekarang kita ada jurulatih baharu di AMD.
SEKOLAH SUKAN
Adakah sekolah sukan masih relevan dan memberi sumbangan kepada kelahiran bakat atlet?
Hakikatnya saya lihat kita ada bakat dalam komuniti yang perlukan pengkhususan. Saya beri contoh komuniti Orang Asli.
Mereka tidak suka jika mereka dipisahkan daripada komuniti tersebut. Jadi, kalau mahu bawa Orang Asli ke bandar dan masukkan mereka ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sebagai contoh, ia tidak mampan. Mungkin kalau kita buat pengkhususan satu sekolah sukan di Pahang hanya untuk komuniti Orang Asli, maka kita lahirkan lebih ramai lagi bakat.
Kedua, sekolah sukan ada pelbagai jenis sukan dalam satu sekolah. Bermaksud kemudahan mungkin tidak terlalu spesifik. Kalau kita ada sekolah sukan untuk sukan terjun sahaja, kemudahan disediakan pada tahap terbaik top class.
Pengkhususan sekolah sukan untuk sukan hoki sebagai contoh. Mungkin boleh jadi lebih efektif. Ketiga, yang sedang dibincang untuk bola sepak dalam AMD adalah kita mesti ada sistem keluar masuk. Maknanya dia boleh check in dan check out. Kadang-kadang kita pilih seseorang itu pada umur 13 tahun sebab dia bagus sukan tersebut pada masa itu.
Tetapi selepas dua tahun dia tidak berminat dan tidak sebagus yang ada. Maka kita perlu ada satu sistem yang selamat untuk dia keluar dan pulang ke ekosistem asal dia. Apabila kita pindahkan anak-anak kecil dari kampung ke sekolah sukan dan kemudian dikeluarkan, mereka murung. Ini kerana rakan-rakan mereka sudah berbeza. Ekosistem itu perlu ditambah baik sebelum ditukar skim sekarang.
Jika tidak lima tahun pelajar itu perlu tamatkan pengajian di sekolah sukan. Contohnya, tingkatan tiga dia sudah tidak minat dan kita masih kena tanggung. Jadi, orang lain tiada peluang untuk masuk. Justeru, semua ini perlu dibincangkan dan KPM ada dalam jawatankuasa bersama ini untuk melihat penambahbaikkan sekolah sukan. Kita sudah mula untuk bola sepak dan sudah ada mesyuarat.
Di samping itu, saya lihat sekolah sukan ini ada model di negara lain yang tidak perlu pisahkan dengan keluarga mereka.
Bermaksud pembangunan diri lengkap bersama keluarga. Sekarang ada banyak maklum balas kita terima. Masalahnya, apabila anak-anak dipisahkan, pembangunan diri mereka kurang lengkap. Apabila tinggal bersama keluarga, sekiranya gagal dalam satu-satu kejohanan, balik ke rumah ibu bapa boleh berikan semangat, akan tetapi kalau awal lagi sudah dipisahkan dengan keluarga dan dalam masa sama rakan-rakan semua kompetitif, mungkin kekuatan mental berbeza.
PERLUKAH UNIVERSITI SUKAN?
Apakah keperluan untuk tubuhkan universiti sukan macam di luar negara?
Saya tidak tahu jawapan kerana perbincangan yang saya pernah dengar sebelum ini bukan sekadar membabitkan universiti sukan tapi mahu diwujudkan hospital sukan, Tetapi saya lihat sekarang fokus Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam sukan memang ada.
Dalam kejohanan antara universiti juga pencapaian atlet sangat cemerlang.Dan kita sudah mula ada rakan kongsi dengan universiti untuk kemudahan sukan . Kita buat matching dengan persatuan sukan yang tiada tempat latihan dan bersama universiti yang ada tanah untuk sukan
Saya bagi contoh softball dan baseball. Mereka jumpa rakan kongsi Universiti Putra Malaysia (UPM). Kemudian kita bagi mereka tanah. KBS dan beri geran .
Jadi, rakan kongsi melibatkan tiga pihak iaitu KBS, persatuan sukan dan UPM. Ia memberi langkah penjimatan kerana di universiti mereka pastikan pelajar main. Jadi, kalau kita ada sinergi dan rakan kongsi yang erat, saya percaya setiap universiti itu mampu menjadi universiti sukan. Tidak perlu institusi khas. Kalau tidak nanti universiti lain tidak ada keperluan untuk bersukan.
POLITIK
Bagaimana YB melihat penerimaan orang Melayu terhadap DAP sekarang? Adakah sama seperti dulu?
Isu ini sering dimainkan oleh musuh politik kita kerana nak takutkan orang Melayu dengan DAP sedangkan kita sama-sama rakan politik lain mentadbir Selangor sejak 2008. Ada peruntukan untuk surau dan masjid berkurang? Pentadbiran tiada masalah. Pulau Pinang juga begitu. Sebenarnya ini dipolitikkan.
Sebenarnya DAP sehingga hari ini sudah bersama dengan semua orang. Saya pernah bersama Pas duduk satu platform. Tahun 2013, isu logo yang mana mungkin kita diharamkan. Pas bagi kita surat untuk bagi calon Pas. Saya ada gambar tersebut diberi pada saya.
Kalau DAP betul-betul teruk, kenapa Pas bagi surat untuk gunakan logo mereka? Awak bayangkan dulu sepentas dengan Pas. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri melantik kita dalam Kabinet.
Kalau kita betul-betul teruk, rakan kongsi dulu wujud. Ini kerana pada masa itu mereka rasa boleh bantu menangkan banyak kerusi. Jadi, bila menang cakap DAP bagus. Bila tidak perlukan DAP, buat tuduhan macam-macam kata kita anti Islam dan sebagainya.
Kawasan yang kita bertanding sebagai contoh Subang Jaya. Sebelum ini, sudah 10 tahun saya jaga. Masjid dan surau dapat peruntukan konsisten tanpa berkurangan. Begitu juga dengan program di masjid dan surau. Tiada pun anti Islam.
Di segambut juga begitu. Tapi ada yang mahu mainkan persepsi ini kerana kalau tidak mereka tidak tahu isu apa lagi yang mahu diutarakan untuk mendapatkan undi. Kerana daripada segi kompetensi mereka tiada rekod. Jadi, mereka boleh memainkan sentimen agama dan untuk raih sokongan ramai.
YB dilihat lebih terbuka dan sederhana berbanding segelintir pemimpin DAP lain. Adakah YB merasakan karakter sebegini mampu menarik sokongan terhadap DAP?
DAP ini ialah parti pelbagai kaum. Kami menjunjung Perlembagaan Persekutuan. Maknanya, Islam agama rasmi dan sebab itu kita ada wakil rakyat pelbagai kaum. DAP ini, parti yang berlandaskan khidmat untuk rakyat. Maksudnya, kalau saya dapat mandat daripada satu kawasan ini saya kena jaga konsisten lima tahun untuk berkhidmat. Ini adalah cara kita bekerja.
Jadi, kalau cara kita bekerja macam ini, biasanya pergi bertanding di mana pun kita menang termasuk undi Melayu.
Saya beri contoh sekarang ini Setiausaha Agung, DAP Anthony Loke menetapkan bahawa kami kena hantar laporan kepada beliau untuk mengetahui bagaimana kami belanjakan peruntukan di kawasan masing-masing.
Dia akan pantau kad penilaian sama ada berkhidmat atau tidak. Jika tidak, akan digugurkan. Dia punya harapan tinggi kerana mahu semua kawan-kawan berkhidmat dengan baik.
JURULATIH BOLA SEPAK TEMPATAN
Bagaimana YB melihat isu peletakan jawatan Kim Pan Gon. Adakah lebih baik jurulatih bola sepak diberikan kepada rakyat tempatan?
Saya lihat isunya bukan jurulatih tempatan atau asing. Isunya adalah ekosistem tersebut dan kalau kita cakap dengan FAM, kita ada satu jawatankuasa dipengerusikan bersama di peringkat MSN untuk Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Kalau kita dengar apa yang FAM cakap tentang bakat muda ini, ada banyak penambahbaikkan yang perlu dilakukan di peringkat MSN iaitu NFDP sendiri. Tetapi kelab-kelab juga memainkan peranan.
Saya tahu saya bukan pakar. Itu sebab kita perlu selalu berbincang dengan MFL, FAM dan pemilik kelab untuk dengar maklum balas bagaimana kita boleh perkasakan NFDP.
Isu jurulatih ini ada jawatankuasa yang akan membincangkan pemilihan (jurulatih) dan kedudukan kewangan FAM untuk bayar jurulatih tersebut. Saya lihat Pan Gon ada melaksanakan penambah baikkan kepada ranking bola sepak Malaysia. Tetapi beliau tidak dapat menamatkan kontraknya.
Walau apa pun, saya tiada kecenderungan untuk mengatakan sama ada jurulatih tempatan atau asing yang lebih bagus. Saya lihat untuk Harimau Malaya tiba-tiba melonjak naik adalah mustahil. Kita perlu realistik dan lihat penambahbaikkan yang lebih progresif.
Sekarang kita perlu pastikan apa-apa matlamat yang FAM ada bersifat realistik. Mereka sudah ada visi 30 tahun dan saya cuma harapkan kepimpinan FAM dapat melaksanakan.
Dan dalam sukan ini bukan semua hasil boleh dilihat dalam tempoh 24 jam. Cuma saya rasa peminat Malaysia ini mungkin kerana pengalaman terdahulu menyebabkan mereka hilang sabar kerana sudah menunggu lama. – Mingguan Malaysia










