GEORGE TOWN : Tumpahan minyak dipercayai petrol yang dibawa seorang pemuda pantai atau ‘beach boy’ didakwa menjadi punca 32 daripada 40 unit gerai penjaja di Kompleks Penjaja Huma House dan Tanjong Mas di Batu Ferringhi, musnah dalam kebakaran, petang semalam.
Para peniaga di situ mendakwa, api dikatakan bermula daripada tumpahan minyak tersebut sebelum menyambar beberapa buah motosikal di kawasan berkenaan lalu merebak ke unit-unit gerai di situ.
Menurut seorang pekerja pembersihan di kompleks tersebut, M. Muniandy, 70, sebelum kebakaran itu berlaku, dia sedang menyapu sampah di bahagian tengah kompleks terbabit.
“Ketika itu, ada seorang ‘beach boy’ membawa tiga buah tong minyak dipercayai petrol dengan menggunakan motosikal, minyak yang dibawanya kemudian tumpah. Ada yang mendakwa dia sedang merokok ketika itu, tetapi, saya tidak nampak dia bawa rokok, dan ada percikan api yang menyambar minyak yang tumpah.
“Api tersebut kemudian menyambar beberapa buah motosikal yang diletakkan di situ sebelum merebak dengan pantas sehingga memusnahkan hampir kesemua unit gerai di sini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir. A. Rajendran bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’Ng Mooi Lye serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari hadir meninjau kompleks tersebut yang musnah terbakar semalam.
Dalam pada itu, seorang peniaga minuman di kompleks itu, Sim Poo Seng, 75, berkata, kebakaran berlaku begitu pantas dan dia hanya sempat menyelamatkan motosikal ketika kejadian berlaku.
“Saya sedih kerana saya telah berniaga di sini sejak lebih 50 tahun lalu. Kesemua barangan perniagaan saya musnah. Saya berharap dapat kembali berniaga di kompleks ini semula selepas ia dibaiki,” katanya.
Sementara itu, Rajendran berkata, usaha untuk membina semula kompleks tersebut akan dijalankan segera dan MBPP akan menyediakan tapak sementara di kawasan berhampiran bagi membolehkan peniaga terlibat berniaga di tapak sementara itu.
“Bagi isu punca kebakaran yang dikatakan berpunca daripada tumpahan minyak pula, kita ada mendengar mengenainya daripada peniaga di sini.
“Kita menunggu laporan dan pengesahan lanjut daripada pihak polis dan bomba mengenainya, dan sekiranya ada berlaku kecuaian seperti yang disebutkan, kami akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak terlibat,” katanya.-UTUSAN










